Wujudkah Petanda Kematian?

Semasa

Bahagian 2

Tempah nisan sendiri sebelum  mati

Beria-ia ingin memakai baju warna putih untuk Aidilfitri  

Rakan sebaya sempat bergurau sebelum pergi

Ini kali terakhir aku bergambar dengan kamu semua.

Ayat-ayat seumpama  ini sering  menjadi bualan sebaik urusan pengebumian  dilaksanakan.  Bahkan  kata-kata tersebut dianggap biasa sehinggalah sesuatu  menimpa seseorang.  Kerana itu ramai yang percaya, orang yang hendak meninggal, sebenarnya tahu bahawa ajalnya semakin hampir.  Cuma tanda-tanda  itu akan hanya  dijelaskan melalui  perkataan  atau perbuatan-perbuatan  yang dianggap sebagai  ‘buang tabiat’.  Soalnya, benarkah begitu?

Pensyarah  Jabatan Syariah,  Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ibnor Azli Ibrahim menafikannya. Ini kerana, jelas beliau, tiada satu pun ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan tentang petanda kematian yang menunjukkan sikap-sikap ganjil oleh seseorang menjelang kematiannya.

“Kematian mempunyai dua perspektif iaitu Islam dan saintifik. Dalam Islam, kematian merupakan satu perpindahan dari ada kepada tiada. Manakala saintifik pula, kematian bergantung kepada sesebuah sistem sel-sel yang mati dalam tubuh manusia sehinggakan seseorang itu tidak boleh makan, minum, dan bergerak untuk menjalani kehidupan biasa mereka,” katanya memulakan bicara.

Ujar Dr. Ibnor Azli lagi, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hanyalah bersifat kebetulan.  Ini kerana ajal maut adalah rahsia Allah yang tidak diketahui oleh manusia sehingga hari kiamat. Hal ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mempunyai pengetahuan mengenai hari kiamat, Dia yang menghantar hujan, dia mengetahui apa yang di dalam rahim, tiada siapa tahu apakan nasibnya esok, dan tiada siapa tahu di bumi mana dia akan mati.” – riwayat Bukhari.

Apa pun tanda-tanda hampirnya kematian, tegas Dr. Ibnor,  secara zahirnya  ia dapat dilihat  dari proses kehidupan  seperti pertambahan umur yang  menjadikan seseorang itu  bersifat seperti keanak-anakan pada usianya yang sudah lanjut. Juga, bertambah uban di kepala serta  mudah menjadi seorang yang lupa  dan nyanyuk. Namun, itu semua bukan  penentu kerana  ada juga  kanak-kanak  atau orang muda yang menerima `kad jemputan’ itu lebih awal oleh Allah s.w.t.

Kenyataan Ibnor Azli tersebut juga ada terdapat dalam Al-Quran yang menerangkan bagaimana usia seseorang manusia akan dikembalikan kepada usia tua sebagai sebuah permulaan hidup.

“Orang kita selalu akan kaitkan tanda kematian itu selepas mati. Jika orang itu masih hidup, tanda-tanda itu dianggap biasa malah kita sendiri pun tidak boleh meramal kematiannya,” kata Dr.  Ibnor Azli.

“Ingin saya tegaskan, itu hanya dikenali sebagai buang tebiat. Sedangkan dalam Al-Quran dan Hadis tidak pernah menyebut tentang tanda-tanda kematian. Yang ada hanyalah usia tua sahaja yang membawa tanda penghujung hayat kita tersebut seperti saya katakan sebentar tadi,” tambahnya lagi.

Beliau turut menolak  dakwaan  yang mengatakan tanda-tanda kematian itu boleh diketahui melalui pengiraan hari. Cuma tanda-tanda tersebut berkemungkinan boleh dirasai dengan datangnya ilham dan mimpi dari Allah Taala yang mampu diperoleh oleh orang-orang tertentu sahaja.

Percaya tanda kematian adat Melayu

Persoalan ini kemudian diajukan oleh Al Islam kepada pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Izahar Ariff Mohd Kashim. Bagaimanakah jawapan beliau?

“Wujudnya tanda kematian yang sebenar adalah ketika sesuatu roh keluar dari tubuh jasad seseorang manusia (nazak) , bukannya perkara-perkara ganjil yang selalu dicanang oleh masyarakat umum khususnya Melayu dalam meramal kematian seseorang.

“Ini kerana Allah swt telah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 18 yang bermaksud : “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, sehingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati (nazak), dan berkatalah ia sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini (sedangkan taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedangkan mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian kami telah sediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Ayat ini menunjukkan bahawa tanda suatu kematian itu hanya diketahui apabila seseorang itu nazak sejurus selepas melakukan taubat atau sebaliknya. Hal ini juga turut dipersetujui oleh Imam Qurtubi,  Imam At-Razi serta Abbas dalam tafsir mereka yang menganggap tanda-tanda kematian itu adalah ketika suatu roh itu keluar dari jasadnya.

“Ini kerana bukan setakat manusia, nabi dan rasul sendiri pun tidak diberitahu bilakah mati itu akan tiba. Justeru itu, sebahagian besar para ulama juga mengatakan bahawa kita tidak boleh meramalkan kematian seseorang dengan perkara-perkara yang pelik melainkan munculnya nazak seperti yang disebutkan dalam surah An-Nisaa’ tadi.

“Nabi juga pernah bersabda dalam sebuah hadis Hasan yang diriwayatkan at-Tarmizi yang bermaksud “Allah Taala akan menerima taubatnya selagi dia tidak nazak” membuatkan kukuhnya nazak ini sebagai satu tanda kematian ,” jelas Mohd. Izahar dengan terperinci.

Tegas beliau lagi, amalan mempercayai tanda kematian ini merupakan satu adat khususnya Melayu yang dibuat-buat sedangkan ianya tidak pernah disebutkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. kerana ada hikmahnya yang tertentu. Selain itu, mempercayai tanda-tanda kematian melalui proses pengiraan hari serta wujudnya cerita nyawa manusia ditarik berdasarkan dedaunan yang gugur dari pokok di araysh Allah. juga langsung tiada dalam Al-Quran dan As-Sunnah, bahkan ia hanyalah kata-kata adat orang kita sahaja.

“Ada hikmahnya Allah Taala ‘menghaibkan’ tanda-tanda tersebut. Jika tanda-tanda tersebut tidak dighaibkan dan boleh diketahui akan  kelibatnya, sudah pasti semua manusia akan beramal alim serta tidak melakukan maksiat, seolah-olah ujian yang diturunkan ‘mudah’ dan ‘senang’ untuk dilalui semua insan. Ini terdapat dalam surah Al-An’aam yang bermaksud : Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja, dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut, dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur basah mahu pun, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata, ” tambahnya lagi.

Menyentuh perihal perkara ghaib tersebut, terdapat lima perkara ghaib Allah s.w.t. yang tidak diketahui manusia iaitu turunnya hujan, kandungan rahim, kehidupan masa hadapan dan kematian. Hal ini dikuatkan lagi oleh Allah dalam firmannya dalam surah Luqman 34 yang berbunyi : Sesungguhnya di sisi Allah, pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia jugalah, yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang di dalam rahim, dan tiada seseorang pun yang betul apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seseorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati.

Mohd. Izahar turut menegaskan, tiada satu pun hadis Nabi Muhammad s.a.w. terdapat ayat-ayat tertentu yang dipratikkan untuk mengenali tanda-tanda kematian. Jikalau ada pun, cuma sebahagian para ulama yang mempraktikkannya menerusi karamah iaitu satu anugerah yang diberikan oleh Allah untuk para-para solehin. Begitu juga dengan mimpi dan ilham, hanya segelintir orang yang mampu merasainya.

“Nasihat saya, jangan terlalu mempercayai tanda-tanda kematian. Perbuatan ini mendatangkan khurafat kerana ia boleh mensyirikkan Allah swt. Setiap manusia akan mati, tetapi bila dan di mana, kita tidak tahu melainkan takdir-Nya. Apa paling penting, kita hendaklah bersedia setiap masa kerana kematian akan datang pada bila-bila masa,” katanya mengakhiri perbualan