Wasiat Harta atau Hutang? 

Semasa

Perlukah hutang diwasiatkan? Nampak macam tidak pernah dibuat orang saja mewasiatkan hutang kepada waris. Hutang adalah paling penting untuk diwasiatkan supaya waris tahu berapa banyak hutang yang perlu langsaikan.

Ada hadis menyebut tentang hutang si mati, sabda Rasulullah s.a.w bermaksud, “Roh seorang mukmin itu tergantung yakni dihalang dari tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutang itu dijelaskan (oleh saudara-saudaranya)”- hadis riwayat At-Tirmizi, Imam Ahmad dan IbnHibban.

Wasiat bukan saja menolong waris tetapi juga menolong si mati di dalam hal hutang yang tidak dapat disempurnakannya.  Menurut Ketua pegawai Eksekutif Warisan Mukmin, Mohd Safri Mahat, jangan ambil mudah tentang wasiat kerana banyak risikonya, harta tidak dituntut, waris bergaduh dan hutang tidak dilangsaikan.

Safri menjelaskan lebih lanjut, apabila seseorang mati ada enam perkara yang perlu disegerakan iaitu belanja pengurusan jenazah, melunaskan hutang dengan manusia dan Allah, menyelesaikan harta sepencarian, melaksanakan wasiat dan agihkan bahagian faraid.

“Realitinya ramai yang gagal mengikut enam perkara itu sebab itulah banyak harta pusaka yang tidak dituntut dan tidak boleh dibangunkan. Hukum faraid tidak dilaksanakan dan waris tidak mendapat hak dari harta peninggalan itu. Mengapa itu terjadi?

“Sebabnya adalah kerana kefahaman orang Islam tentang pengurusan harta pusaka masih berada pada tahap yang paling rendah.  Masih ramai juga yang tidak ambil tahu dan tidak faham prosedur untuk menuntut harta pusaka. Apabila berlaku kematian di dalam keluarga barulah menggelabah dan tercari-cari apa yang harus dilakukan dahulu. Sebab itulah pentingnya wasiat semasa hidup untuk memudahkan waris menguruskan harta pusaka,” jelasnya.

Salah faham tentang wasiat

Tidak dinafikan banyak terdapat salah faham di kalangan masyarakat Islam sendiri tentang wasiat. Salah faham yang sering timbul adalah wasiat hanya untuk orang yang sudah hampir ajalnya. Ia hanya dibicarakan ketika hendak mati, masa itulah baru orang sibuk mencari wasiat. Kebanyakan orang tua, sensitif bila bercerita tentang wasiat seolah-olah mendoakan mereka mati cepat.  Orang muda kalau cakap tentang wasiat tidak marah kerana belum terasa hendak mati dan rasa tidak perlu.

Ujar Safri, salah faham juga berlaku dari segi hukum syarak. Bila sebut wasiat semua orang fikir untuk mewariskan harta kepada anak-anak dan isteri seperti yang telah termaktub di dalam faraid. Ramai yang tidak faham bahawa menulis wasiat bukanlah untuk waris faraid.

“Wasiat perlu ada dua prinsip. Pertama wasiat ditulis adalah untuk membahagikan harta kepada orang lain yang tidak ada di dalam senarai faraid seperti anak angkat dan anak tiri. Yang kedua, wasiat perlu apabila terdapat waris terdinding iaitu ada anak lelaki maka adik-beradik dan cucu tidak boleh mendapat bahagian peninggalan si mati.  Maka boleh berwasiat kepada cucu atau adik-beradik yang memerlukan.

“Sering kali kita lupa berwasiat untuk diri sendiri, tinggalkan harta untuk amal jariah berpanjangan hingga kiamat. Di dalam keadaan ini wasiat adalah penting untuk wakafkan harta kepada masjid, anak yatim ataupun kebajikan. Kita tidak boleh harap anak-anak lakukan amal jariah untuk kita apabila sudah meninggal. Wasiat sebagai alat untuk merancang selepas mati, bagaimana harta ini akan diuruskan,” jelasnya

Eh! aku tidak ada harta perlukah berwasiat?

Perlu, itu kata Safri kerana wasiat terbahagi kepada tiga perkara iaitu wasi (pemegang amanah), wisoyah (apa yang hendak diamanahkan) dan wasiah. Sebelum mengambil keputusan untuk menulis wasiat tiga perkara itu perlu diteliti. Jika ketiga-tiganya tidak ada maka wasiat tidak perlu dibuat.

Penerangannya begini, wasi adalah pemegang amanah. Selepas mati siapa yang boleh diharapkan untuk menguruskan enam perkara yang disebutkan tadi. Jika ada orang yang boleh diharapkan sudah selesai semua masalah.

Jika tidak ada yang boleh diharapkan maka pemegang amanah perlu dilantik di kalangan waris atau orang luar yang tahu hukum hakam, amanah dan tahu urusan pentadbiran harta pusaka.

“Sebab itu saya lebih suka cadangkan Amanah Raya Berhad(ARB) sebagai pemegang amanah, semua ciri-ciri itu ada pada ARB. Seelok-eloknya pemegang amanah itu daripada pihak berkecuali dan tidak mati yang boleh uruskan pembahagian pusaka dan paling sesuai adalah ARB. Buat wasiat dengan ARB hanya sekali bayar dan disimpan selagi tidak berlaku pindaan.

“Yang kedua,wisoyah bermaksud apa yang hendak dimanahkan. Apa yang wasi hendak uruskan. Kalau kita ada hutang, aset yang perlu diuruskan, jenis aset, terletak di mana, semua maklumat tentang harta, harta alih dan tidak alih. Jelaskan hutang si mati adalah penting supaya rohnya tidak tergantung. Siapkan maklumat kepada orang yang memegang amanah,”ujarnya.

Tambahnya  lagi, “Setelah semua itu lengkap barulah ada wasiat, yang bermaksud pemberian. Ia terangkum di dalam wasiat. Jika ada duit atau harta lebih maka bolehlah diwasiatkan. Wasiat itu akan diuruskan oleh ARB semuanya, waris tidak perlu bersusah payah.

“Buat wasiat bukan sebab wasiat itu tetapi kerana maklumat itu perlu dikumpulkan dan bukannya untuk membahagikan harta. Pengumpulan maklumat adalah masalah utama yang dihadapi oleh waris. Sebab itulah penting adanya wasiat supaya semua maklumat boleh disimpan dan diuruskan oleh pemegang amanah. Memudahkan untuk waris menuntut harta pusaka kita, bukan menyediakan kehidupan untuk yang ditinggalkan tetapi menyediakan maklumat untuk waris bertindak,” katanya.