Vuvuzela haram kerana bunyi atau penyebar virus?

Feqah

Demam piala dunia sudah jauh meninggalkan kita.  Bunyi trompet vuvuzela sudah tidak kedengaran lagi. Jika ada pun hanya sekali sekala, itu pun untuk liga yang tidak berapa terkenal. Baguslah kalau macam itu, jadi tidaklah bingit telinga. Bunyi vuvuzela bukannya sedap sangat pun sebaliknya boleh menimbulkan kecederaan pada pendengaran.

Kekuatan bunyi vuvuzela boleh mencapai 120dB (desible). Ia boleh menyebabkan pekak kekal jika terdedah kepada bunyi itu secara berterusan dalam jarak satu meter walaupun berada di tempat terbuka. Trompet yang berasal dari Afrika Selatan itu boleh didapati di dalam pelbagai warna yang diperbuat daripada plastik. Ia adalah simbol kebanggaan Afrika Selatan yang menjadi  tuan rumah Piala Dunia FIFA 2010.

Vuvuzela seolah-olah sudah menjadi satu alat wajib untuk memeriahkan perlawanan bola sepak di peringkat dunia. Namun kerana bahaya yang dibawa ia telah diharamkan di beberapa negara dan acara sukan. Antaranya di Cardiff City dan stadium Millennium, Wimbledon, Melbourne Cricket Ground, stadium Yankee, Fuji Rock Festival, UEFA, Europa League, 2011 Rugby World Cup, Atlanta Trashers, 2010 FIBA World Championship (bola keranjang) National Football League, Kontinental Hockey League, Ultimate Fighting Championship, Gaelic Athletic Association dan Southeastern Conference.

Pada 12 Julai 2010, Emiria Arab Bersatu  pula mengeluarkan fatwa iaitu vuvuzela adalah haram. Alasannya trompet yang mengeluarkan bunyi yang kuat lebih dari 100 desibel adalah termasuk di dalam salah satu perkara yang dilarang oleh agama. Pengharaman itu bukan kerana bahan yang digunakan untuk membuat trompet itu tetapi bahaya yang dibawa bila alat berkenaan ditiup.

Vuvuzela yang mempunyai kekuatan bunyi lebih 100 desibel itu boleh merosakkan pendengaran. Atas alasan itulah badan fatwa UEA menetapkan bahawa alat muzik tersebut haram dan dilarang untuk dimainkan.

Ada alasan lain

Kalau bukan pun kerana bunyinya yang kuat, alat tiupan itu tetap menimbulkan syak terhadap penggunaannya, yang mungkin boleh membawa kepada haram. Pihak berkuasa Hal Ehwal Islam UEA telah menjalankan penyelidikan terperinci sebelum mengharamkannya. Perkara utama yang diambil kira adalah tentang keselamatan dan kebersihannya.

Hasil penyelidikan mendapati vuvuzela adalah alat yang digunakan oleh bomoh dan dukun di dalam upacara menghalau syaitan.  Sudahlah begitu, vuvuzela juga didapati boleh menjadi agen penyebar virus influenza kepada orang sekeliling. Itulah yang lebih berbahaya dan menjadi salah satu sebab vuvuzela diharamkan.

Namun demikian pengharaman itu bukan bermakna vuvuzela tidak boleh dibawa masuk langsung ke UEA. Penjualannya dan pengimportannya masih lagi dibenarkan jika kilang pembuatnya boleh memberi jaminan bahawa kekuatan bunyinya adalah di bawah 100 desibel.

Ini bermakna vuvzela masih lagi boleh ditiup di stadium tetapi kekuatan bunyinya mestilah dikurangkan. Maknanya, selepas ini tidak akan kedengaranlah bunyi sumbang trompet plastik itu. Kalau ada pun hanya bunyi yang sepoi-sepoi saja.

Keadaan ini sebenarnya jauh berbeza dengan larangan yang ditetapkan oleh beberapa negara seperti Eropah, Australia, Amerika Syarikat dan Britain. Bagi kejohanan tertentu seperti hoki, bola kerajang, bola sepak dan ragbi adalah dilarang sama sekali membawa masuk vuvuzela ke dalam stadium.

Mereka jelas meletakkan larangan itu untuk semua vuvuzela tidak kira bunyinya melebihi 100 desible atau pun kurang daripada itu. Ia memang berbeza dengan fatwa yang dikeluarkan oleh UEA yang hanya memilih vuvuzela berkekuatan bunyi tertentu saja.

Bagaimana hendak dikurangkan bunyinya, itu terserah pada pembuat trompet itu. Tapi bagaimana dengan virus influenza? Adakah virus itu tidak akan tersebar jika bunyinya tidak kuat?