Telur Oh Telur ! Bila  Najis bertaburan…  

Semasa

Bahagian 1

Oleh: Ahmad Nasaruddin Abdul Rahman

“Mamak! roti telur satu…”, “Siap!…” Sahut mamak pembuat roti telur sambil tangannya menebarkan tepung roti di atas kuali lalu dipecahkan sebutir telur ayam yang diambil dari bekas telur kemudian dicurahkan ke atas tepung roti tersebut. Kulit telurnya dicampak ke dalam tong sampah yang disediakan khas di sebelah bawah kuali lalu dilipat-lipat tepung roti menjadi bentuk empat segi dan dibalik-balikkan tepung roti tersebut beberapa kali. Selang beberapa minit kemudian, roti telur siap untuk dihidangkan  atas meja untuk santapan pelanggan.

Begitulah senario yang dapat kita lihat setiap kali kita pergi ke restoran-restoran mamak untuk bersarapan sebelum memulakan rutin kerja atau keluar minum bersama kawan dan keluarga.

Telur ayam memang sajian yang enak untuk dimakan. Telur ayam boleh saja dihidangkan setengah masak atau dijadikan telur rebus dan juga digoreng telur mata atau telur dadar untuk dimakan sama ada bersama nasi goreng, nasi lemak ataupun mi goreng dan sebagainya.

Bercakap pasal telur ayam, adakah kita semua maklum tentang aspek kebersihannya? Sesetengah dari kita langsung tidak ambil peduli. Namun ada juga yang sangat cerewet hinggakan hendak makan di restoran-restoran mamak pun tak mahu, apatah lagi gerai-gerai yang menjual juadah di tepi-tepi jalan.

Sebagai penganut agama Islam, kita dituntut untuk menjaga kebersihan. Kebersihan dapat membentuk sahsiah individu dan juga boleh mempengaruhi persekitarannya. Kebersihan juga dapat mencerminkan peribadi seseorang. Dalam hadis Rasulullah ada menyebut, “kebersihan itu sebahagian dari  iman.”

Bercakap soal kebersihan makanan, kita semua perlu ambil perhatian yang serius dalam hal ini. Makanan banyak mempengaruhi hati kita. Setiap makanan yang masuk ke dalam perut mestilah halal dari semua sudut. Halal dari segi sumbernya, duit untuk membelinya, penyediaan memasak dan seterusnya sewaktu menjamah makanan. Namun apa yang lebih penting sekali ialah makanan tersebut mestilah suci dari sebarang unsur najis.

Namun kebanyakan orang Islam sendiri masih cuai dalam menjaga kebersihan terhadap makanan atau hidangan seharian.

Kebiasaannya, apabila kita makan di rumah, bahan masakan yang digunakan untuk dimasak akan dibersihkan dengan air terlebih dahulu. Ini bagi memastikan kotoran yang melekat pada bahan tersebut akan hilang. Namun bagaimana pula sekiranya kita makan di luar. Adakah pengusaha-pengusaha di luar sana turut membasuh bahan tersebut sebersih-bersihnya?

 Telur bersalut darah, adakah najis dimakan

Darah hukumnya najis dan haram di sisi Islam. Hal ini jelas sebagai mana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 173 yang bermaksud, Ssesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang tidak disembelih kerana Allah…”

Penegasan mengenai pengharaman makan darah turut dinyatakan di dalam surah al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud, “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah…”

Larangan berkenaan turut terdapat di dalam surah-surah lain seperti surah an-Nahl, ayat 115 dan surah al-An’am, ayat 145 yang menjelaskan sifat darah itu kotor dan boleh membawa kemudaratan.

Telur ayam atau telur apa sekalipun, keluarnya adalah dari lubang dubur ayam atau binatang berkenaan. Lubang dubur juga merupakan tempat keluarnya najis. Umum mengetahui binatang ternak atau liar tidak pernah membersihkan najis atau dubur. Semasa proses ayam bertelur, jelas kelihatan najis melekat pada kulit telur ayam.

Sama ada hukmi atau aini, hukumnya  tetap najis – (dikira masih najis walau pun tidak nampak najis tersebut) atau najis aini (jelas masih terdapat najis melekat).

Sebab itu jika makanan yang mengandungi telur, kita kena pastikan telur yang digunakan dibasuh dengan air mutlak terlebih dahulu. Sekiranya telur-telur tersebut tidak dibasuh ia dikira bernajis. Najis haram dimakan. Oleh yang demikian,  masakan yang mengandungi telur tersebut juga haram dimakan.

Tinjauan Al Islam di restoran-restoran mamak sekitar Kuala Lumpur mendapati kebanyakan restoran-restoran ini sangat mementingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Tinjauan juga mendapati kebanyakan restoran mamak ini membasuh terlebih dahulu telur-telur ayam sebelum dimasak.

Al Islam sempat menemu bual Abdul Salam Ahmad, Pengurus Besar Restoran Nasi Kandar Deen di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Menurutnya, telur-telur ayam tersebut dibasuh dengan direndam di dalam besen sebelum dicuci satu persatu. Telur ayam itu kemudiannya diasingkan ke sebuah bekas khas sebelum digunakan.

“Dalam sehari, kerja-kerja membersihkan telur ayam dilakukan sebanyak 3 kali, iaitu di sebelah pagi, petang dan juga malam. Biasanya seorang pekerja akan ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan tersebut.

Selain dari itu, aspek kebersihan turut diberi perhatian di premis restoran terutamanya di bahagian dapur. Dalam memastikan segala bekalan barangan  bersih dan dari sumber yang halal, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga turut membuat pemeriksaan berkala terhadap pengusaha-pengusaha restoran yang menyediakan makanan Islam.

“Pihak JAKIM akan datang membuat pemeriksaan ke premis tiga bulan sekali. Segala bekalan barangan masakan sama ada barangan kering atau basah akan diperiksa oleh JAKIM bagi memastikan sumbernya halal. Malah JAKIM turut memeriksa kebersihan di premis terutamanya di bahagian dapur,” katanya.

“Sebagai pengusaha makanan Islam, sudah tentu menyediakan makanan yang bersih dan halal menjadi satu kewajipan. Seandainya premis kelihatan kotor dan makanan yang disediakan tercemar sudah tentu pelanggan akan lari dan menjejaskan perniagaan” tambahnya lagi.

Bagaimanapun terdapat segelintir kecil pengusaha restoran mamak ini yang tidak mengambil peduli tentang kebersihan telur ayam.  Sewaktu Al Islam singgah di restoran mamak tersebut, jika lihat pada keadaan premis restoran berkenaan, sememangnya kelihatan bersih dan sempurna sekali, malah dapurnya juga dalam keadaan bersih dan tersusun.

Namun apa yang mencacatkannya ialah sewaktu pekerja restoran tersebut membuat roti telur yang dipesan oleh pelanggan. Jelas kelihatan sewaktu pekerja restoran sedang membuat roti telur, pekerja terbabit terus mengambil telur ayam yang diletakkan dalam ‘sarang telur’ kemudian telur tersebut dipecahkan dan ditabur terus di atas tepung roti tersebut.

Setelah memegang kulit telur ayam itu tadi, pekerja itu terus melipatkan tepung dan memanaskan tepung roti tadi sehingga masak. Setelah selesai membuat roti telur itu tadi, pekerja tersebut terus menyambung membuat roti lain dengan mengambil tepung doh roti yang telah tersedia. Kemudian ditebarkan doh roti tersebut berulang kali.