Rahsia Tarikh lahir: Siapa yang menipu dan tertipu?

Semasa

Oleh: Norimanah Seman

Tiba-tiba saja terfikir untuk mencari rahsia tarikh lahir di dalam satu laman sesawang. Keputusan yang diberikan memang akan membuatkan sesiapa saja tersenyum kerana ada yang tidak masuk akal. Salah satunya menyebut begini: Anda seorang anak dara tua, banyak lagi yang dikatakan tentang tarik lahir itu, kerjaya anda harus begini dan kena berkawan dengan orang begitu.

Anak dara tua? Apa bendanya, sedangkan orang yang mencuba tarikh lahir itu sudah berderet anaknya. Susun paku…

Ah! Mengarutlah semua itu. Saja hendak menarik perhatian orang untuk menyertai dan menyedapkan hati dengan ramalan yang baik-baik. Pernah juga suatu ketika, aktiviti membongkar rahsia tarikh lahir mendapat liputan meluas dari media . Kononnya melalui tarikh lahir boleh membuatkan orang menjadi kaya.

Bila masuk saja seminar itu, fasilitator menjerit, “Siapa nak jadi kaya?” Peserta pun pantas menyahut, “Saya mahu kaya!” Lawak sungguh dengan berkata `Saya mahu kaya’, adakah kita akan menjadi kaya? Adakah dengan membaca tarikh lahir maka projek besar akan datang bergolek dan nasib akan berubah?

Seminar itu juga khabarnya mendapat sambutan hangat. Sampai 10,000 orang pesertanya. Yang pastinya, yang kaya bukan peserta tetapi pakar motivasi itu! Dia yang ‘masuk’, bukan peserta yang ‘masuk’. Kalau hendak kata duit datang bergolek, dialah yang dapat duit bergolek, bukannya peserta. Hanya bermodalkan air liur saja untung beribu-ribu, tidakkah itu dikatakan duit bergolek? Betul tak?

Kemudian ada seorang kawan yang mempunyai beberapa ekor monyet peliharaan. Untuk menguji ketepatan rahsia tarikh lahir, dia mengambil tarikh lahir salah seekor anak monyetnya dan dimasukkan ke dalam perkiraan secara automatik. Ha ha ha… tergelak besar sebab analisis yang dibuat itu mengatakan bahawa pemilik tarikh lahir itu adalah seorang yang cantik, pandai, suka menolong orang dan macam-macam lagi!

Dari situ bolehlah dikatakan bahawa masukkan saja tarikh apa pun, nanti akan keluar semuanya yang baik-baik. Kita yang membaca jadi syok semacam, berangan bahawa kita adalah yang terbaik.

Apabila Al Islam tanyakan hal ini kepada Jabatan Kemajuan Islam  Malaysia (JAKIM),  inilah jawapannya: `Isu tersebut sedang di dalam pemerhatian pihak JAKIM dan masih di dalam peringkat kajian. Ditakuti juga seminar seumpama itu boleh menjadi satu yang khurafat.’

Tarikh lahir ditilik dan diramal

Seronok juga jika kita membaca hasil analisis yang diberikan oleh sebuah laman web rahsia tarikh lahir. Ia membawa kita berangan yang tidak berkesudahan namun masih tidak kaya juga. Tapi bila tiba bahagian keburukan, muka segera berubah menjadi muram. Hati mula tertanya-tanya, betulkah aku akan jadi begini nanti? Hati rasa gundah gulana, kerja semua tidak menjadi. Jika sampai tahap ini, bagaimana pula ceritanya?

Apabila diajukan pula persoalan ini kepada Ketua Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr. Fariza Md. Sham, beliau terus tersenyum. Kata Dr. Fariza, di dalam Islam tidak ada tarikh atau nombor tentu yang boleh membawa tuah. Setiap nombor yang Allah ciptakan ada peranannya yang tersendiri dan ada rahsia di sebaliknya. Hanya Allah maha mengetahui rahsia itu, bukannya si peramal tadi.

Dr. Fariza seterusnya menjelaskan, tidak timbul langsung persoalan yang mengatakan bahawa Allah suka pada nombor ganjil kerana Allah itu satu. Itu tidak ada kena mengena langsung. Dalam persoalan ini Allah itu tidak ganjil dan tidak genap. Esanya Allah bukan bermaksud ganjil.

“Inilah masalahnya apabila orang Islam yang terlalu taksub dengan nombor akan membuat tafsiran sembarangan. Sampai satu peringkat nanti yang paling dibimbangi ialah orang memilih tarikh tertentu kerana ia boleh membawa tuah.

“Perkara itu akan menjadi lebih kronik apabila ibu bapa memilih tarikh lahir anak kerana dikatakan pada tarikh itu anak akan menjadi bijak, bertuah serta mempunyai masa depan yang cerah. Walaupun ramai yang menafikan bahawa itu bukanlah menilik nasib tapi pada hakikatnya itulah menilik nasib.

“Seolah-olah tarikh itu yang menentukan masa depan anak-anak. Jika tarikh lain maka anak itu akan membawa keburukan atau sebagainya. Sebenarnya bukan tarikh lahir yang menentukan tingkah laku anak-anak atau peribadi seseorang, sebaliknya personaliti manusia secara psikologi ditentukan oleh faktor persekitaran, pendidikan, hubungan kita dengan Allah, usaha, ikhtiar, tawakal dan doa,” jelasnya.

Tukang tilik moden

Dr. Fariza seterusnya menegaskan, mempercayai tarikh lahir ini adalah sama seperti mempercayai tukang tilik atau pergi kepada tok nujum. Walaupun caranya nampak moden dan diberi nama yang sedap-sedap seperti membongkar, menyelongkar, menyingkap rahsia tarikh lahir, hakikatnya ia adalah sama dengan menilik nasib.

Tambahnya lagi, menilik nasib bukan terbatas pada  melihat tapak tangan atau  menggunakan alat seperti buah dadu, duit syiling dan daun terup. Walaupun sekadar membaca tarikh lahir seseorang kemudian dianalisis untung malang atau baik buruknya, itu juga dikira menilik nasib.

“Persoalannya bagaimana orang yang menganalisis itu boleh mengetahui apa yang bakal terjadi kepada seseorang hanya berdasarkan tarikh lahir? Pada saya perbuatan itu tetap menilik juga kerana ia memberi tahu perkara-perkara yang belum berlaku. Sedangkan perkara itu adalah rahsia, hanya Allah saja yang mengetahuinya,” jelas Dr. Fariza.

Jika dibincangkan dari segi hukumnya pula, Dr. Fariza segera memberi amaran, Allah secara jelas menegah orang-orang beriman daripada melakukan amalan menilik nasib. Ia disebut dengan terang dan nyata di dalam al-Quran, surah al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud, “Hai orang –orang yang beriman sesungguhnya arak, berjudi, berhala, mengundi nasib adalah perbuatan keji dari amalan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh kejayaan.”

“Perbuatan tersebut boleh membawa kepada syirik. Ini kerana kita bergantung, meletakkan harapan dan mempercayai sesuatu selain dari ketentuan dan takdir Allah,” tambah Dr. Fariza.

Tegas beliau lagi walaupun perbuatan membaca tarikh lahir itu ada kalanya sekadar suka-suka atau bertujuan untuk memotivasikan diri, ia tetap boleh membawa kepada syirik dan haram. Yang membuatnya berdosa dan yang pergi untuk mendapatkan khidmat itu pun berdosa.

Ianya jelas seperti yang disebut di dalam hadis nabi diriwayatkan oleh al-Tabrani bermaksud, “Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa hina atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau menyihirkan atau minta disihirkan.”

Kemudian di dalam sebuah hadis yang lain pula juga ada dinyatakan tentang amalan orang menilik nasib tidak diterima Allah. Sabda Rasulullah s.a.w itu berbunyi begini, “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.” (Sahih Muslim).

Ada yang mendakwa penomboran itu adalah ilmu peninggalan Islam

Mengulas mengenai alasan yang dikemukakan oleh kebanyakan pakar motivasi yang menggunakan tarikh lahir dan nombor, Dr Fariza menjelaskan memang benar nombor adalah warisan sarjana Islam.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, walaupun sarjana Islam yang mula-mula memperkenalkan ilmu nombor atau matematik, tetapi mereka tidak menggunakannya untuk menilik nasib. Malah tidak ada ilmu mengenai tarikh lahir atau rahsia nombor yang Rasulullah ajarkan atau yang diwarisi dari zaman para sahabat.

“Setahu saya ilmu menilik nombor ini diperkenalkan sejak zaman Mesopotamia, Mesir kuno, Greek dan Yahudi. Ilmu penomboran ini adalah kesukaan masyarakat Yahudi yang mula dikembangkan hingga ke alam Melayu.

“Orang Melayu pula memang suka kepada benda yang pelik, ringan dan menyeronokkan. Mungkin untuk mencari jalan mudah menentukan nasib, mereka pergi kepada rahsia tarikh lahir. Meramal tarikh lahir adalah satu perkara yang menyeronokkan dan boleh melarikan diri dari tekanan.

“Ada juga yang menghadiri seminar rahsia tarikh lahir untuk menaikkan semangat, motivasi atau untuk mengenali diri. Walaupun tujuannya baik tetapi di dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Ia tetap tidak boleh dan hukumnya haram. Kecuali  jika kita membaca penerangan tentang tarikh lahir setakat untuk mengetahui perkembangannya, ia dibolehkan tetapi jangan sampai mempercayainya,” terangnya