Muzik Haram Loceng Haram

Feqah

Kringgggggg…! loceng berbunyi penanda waktu persekolahan telah bermula. Apabila tamat waktu satu mata pelajaran sekali lagi terdengar bunyi, kringgggggg…! Setiap kali waktu bermula atau berakhir, bunyi itu yang kedengaran.

Hingga hari ini bunyi loceng di sekolah adalah menjadi petunjuk bermula atau berakhirnya waktu. Cuma bentuk loceng itu saja yang berubah. Jika dulu ia berbentuk loceng asli yang perlu dipukul secara manual seperti loceng di gereja, namun kini ia telah sedikit berubah dan hanya perlu ditekan. Bunyinya juga lebih kuat.

Di Mogadishu, Somalia, bunyi loceng tidak kedengaran lagi sejak April 2010. Al Shabaab, puak militia paling kuat di negara itu mengeluarkan fatwa melarang penggunaan loceng di sekolah. Oleh itu, tidak ada lagi kedengaran bunyi loceng yang menandakan waktu sekolah telah bermula atau berakhir.

Al-Shabaab melabelkan bunyi loceng sebagai amalan yang tidak Islamik dan salah dari segi undang-undang Islam. Alasannya, membunyikan loceng adalah amalan di gereja Kristian.

Sebab itulah pemimpin tertinggi Al-Shabaab menggesa semua sekolah menghentikan penggunaan loceng sebagai penanda waktu. Jika ada sekolah yang ingkar perintah itu maka pengetua dan semua guru-gurunya akan dikenakan tindakan undang-undang.

Sejak itu tidak kedengaranlah lagi bunyi loceng di wilayah yang dikuasai oleh puak militia itu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan al-Qaeda. Guru-guru terpaksa memikirkan kaedah lain untuk menandakan bermula dan berakhirnya waktu persekolahan. Ada juga beberapa orang guru yang terpaksa memukul pintu bilik darjah sebagai ganti pengharaman loceng itu.

Tidak setuju

Walaupun telah diperintahkan untuk menghentikannya namun masih ada di kalangan guru yang tidak puas hati dengan fatwa baru tersebut. Bagi mereka arahan itu tidak boleh diterima akal, apatah lagi diarahkan untuk mematuhinya tanpa diberikan pilihan lain. Apa boleh buat, undang-undang tetap undang-undang, mahu atau tidak ia harus dipatuhi.

Puak militia Al-Shabaab juga mengamalkan pentafsiran undang-undang Islam yang ketat. Sebelum ini pun Al-Shabaab banyak mengeluarkan fatwa yang kurang disenangi oleh penduduk Islam. Terutamanya fatwa yang mengawal kehidupan harian masyarakat, antaranya larangan menonton wayang, permainan bola sepak dan video game. Juga, mengetatkan peraturan berpakaian cara Islam dan potongan rambut bagi lelaki.

Malah lebih tegas lagi apabila mereka mengeluarkan fatwa larangan muzik. Sebanyak 14 stesen radio swasta telah diarahkan untuk menghentikan semua bentuk muzik. Al-Shabaab menganggap bahawa semua muzik dan nyanyian adalah satu kejahatan serta haram. Sesiapa yang melanggar larangan itu akan dikenakan tindakan undang-undang.

Keadaan ini membuatkan stesen radio terpaksa mencari cara lain yang lebih kreatif untuk menarik pendengar. Penyiar radio terpaksa menggunakan muzik alam iaitu bunyi unggas, kuda, ayam, senapang, air atau apa saja yang boleh mengeluarkan bunyi. Tanpa disedari, fatwa larangan muzik itu menjadikan manusia lebih kreatif walaupun terpaksa hidup di dalam keadaan yang serba kekurangan.

Jadi, jika anda ke Mogadishu jangan mengharap sangat boleh mendengar muzik dan bunyi loceng. Pastinya ia memang tidak ada.

Pun begitu di dalam Islam perbincangan tentang muzik ini terdapat kekhilafan di kalangan mazhab. Imam Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumiddin mengharuskan semua jenis alat muzik termasuklah yang dipetik seperti gitar, ditiup, digesek ataupun dipalu seperti gendang.

Kata Imam Ghazali, tidak ada keterangan yang jelas dari hadis Nabi Muhammad s.a.w yang melarang penggunaan alat muzik. Setiap alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, malah ianya tidak lebih dari kemerduan suara burung.

Seni muzik itu menjadi haram atau terlarang kepada umat Islam apabila ia bersekongkol di dalam keadaan bercampur antara lelaki dan perempuan, peminum arak, penzina dan lain-lain perkara yang berdosa.

Manakala menurut Yusuf Qardhawi, barang siapa mendengarkan nyanyian dengan niat untuk membantu bermaksiat kepada Allah, maka jelas dia adalah fasik, termasuk semua hal selain nyanyian. Dan barang siapa berniat untuk menghibur hati supaya dengan demikian dia mampu berbakti kepada Allah serta tangkas dalam berbuat kebajikan, maka dia adalah orang yang taat dan berbuat baik dan perbuatannya pun termasuk perbuatan yang benar.

Yusuf Qardhawi menambah lagi, barang siapa tidak berniat untuk taat kepada Allah dan tidak juga untuk bermaksiat, maka perbuatannya itu dianggap main-main saja yang dibolehkan, seperti halnya seorang pergi ke kebun untuk beristirahat, dan seperti orang yang duduk-duduk di depan sofa sekadar melihat-lihat, dan seperti orang yang mewarnakan bajunya dengan warna ungu, hijau dan sebagainya (dipetik dari buku Halal dan Haram dalam Islam).