Telur Oh Telur ! Bila Najis bertaburan…

Semasa

Bahagian 2

Mencegah Penyakit Berjangkit

Al Islam menemubual Dr. Abdul Razak Mohd Zailan, Ketua Jabatan Ternakan  dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhubung kebersihan telur ayam dari sudut sains kesihatan.

“Jangkitan kuman pada telur ayam yang dikenali sebagai “Salmonella” atau “E-coli”  boleh menyebabkan cirit-birit, muntah dan mendatangkan maut. Jangkitan boleh berlaku disebabkan oleh beberapa perkara, iaitu, melalui proses pengeluaran telur, pembiakan dan juga persekitaran.

“Pada asalnya, lendir yang keluar bersama telur ayam bertindak sebagi pelincir bagi memudahkan telur itu keluar dan tidak mengandungi sebarang kuman. Namun sekiranya lendir itu tadi terkena pada darah dan najis yang melekat di luar dinding dubur luar akan mengakibatkan berlakunya jangkitan kuman.

“Bagi ayam dara, atau ayam yang pertama kali bertelur semasa proses mengeluarkan telur akan menyebabkan dinding rektum terkoyak dan mengeluarkan darah.

“Bagaimanapun telur yang baru keluar tidak digalakkan basuh untuk mengelakkan jangkitan kuman. Ini disebabkan kulit telur mengandungi berjuta-juta liang udara (pora-pora). Sekiranya telur itu tadi dibasuh, pora-pora akan terbuka dan menyebabkan kuman boleh menembusi ke dalam telur ayam tersebut.

“Di luar negara, kebanyakan pengusaha ternakan di sana mengamalkan kaedah membasuh telur ayam menggunakan air suam melebihi 35 darjah Celsius. Apabila telur ayam ini dibasuh menggunakan air panas, menyebabkan liang udaranya menolak keluar kuman yang ingin masuk ke dalam telur itu tadi. Namun kaedah ini tidak dipraktikkan  di negara kita. Kotoran yang melekat di kulit telur ayam hanya dibuang dengan cara mengikis kulit telur tersebut, katanya.

Tambahnya lagi,  “Telur juga boleh dijangkiti wabak penyakit melalui proses pembiakan. Ini berlaku apabila salah satu atau kedua-duanya, sama ada ayam betina atau ayam jantan yang melakukan proses persenyawaan dijangkiti wabak penyakit. Telur yang terhasil juga akan turut dijangkiti kuman tersebut.

“Persekitaran ladang ternakan yang kotor dan pengudaraan yang tidak bersih merupakan faktor penting penyebab jangkitan kuman seperti salmonella dan Kolera. Untuk mengelakkan dari terkena jangkitan, pengusaha hendaklah memastikan ladang ternakan telur mereka dilengkapi sistem pengudaraan dan persekitaran bersih dan tidak berbau busuk.”.

Menurut Dr.  Abdul Razak,  bagi pemborong pula, pastikan telur disimpan di tempat penyimpanan yang bersuhu rendah dan bersih. Telur pula hendaklah sampai kepada pengguna dalam tempoh satu ke dua minggu selepas keluar dari ladang ternakan.

Manakala  bagi pengguna,  pastikan membeli telur yang tidak rosak dan retak dan guna sebelum luput tarikh. Pengguna juga hendaklah menyimpan telur dalam peti sejuk atau tempat yang bersuhu rendah supaya telur itu boleh bertahan dalam tempoh  tiga minggu.

Sementara itu, telur ayam yang telah dikeluarkan dari peti sejuk jangan melebihi 30 minit. Ini akan menjejaskan kualiti telur tersebut. Pengguna juga dinasihatkan agar jangan memakan telur mentah. Ini disebabkan imuniti telur itu sangat rendah dan mudah dijangkiti kuman.

“Perkara yang penting sekali, asas mudah kuman merebak melalui ‘kekotoran’ menunjuk pada asas mudah pencegahan iaitu menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Tindakan membasuh telur ayam dan juga tangan menjadi asas utama dalam pencegahan penyakit berjangkit kerana tangan banyak memegang permukaan yang mudah dicemari dan tangan juga memindahkannya ke muka, mata, ke dalam mulut mahupun kepada individu lain,” ujarnya.