‘Master-key’ Buka Pintu Rezeki

Rencana

Bumi Allah luas, rezeki ada di mana-mana. Tapi rezeki itu perlu dicari dan wajib dibuka dahulu. Kalau tidak bagaimana rezekinya hendak bergolek-golek depan mata. Betul kan? Tapi…macam mana hendak buka pintu rezeki. Kuncinya di mana? Sesuai atau tidak? Kalau ada master-key lagi bagus, bila-bila masa boleh buka pintu rezeki walau apa pun rupanya.

Ada! Memang ada…master-key untuk pintu rezeki. Inilah dia master-key paling hebat untuk buka pintu rezeki. Sebelum memikirkan bagaimana untuk membuka pintu rezeki kena tahu master-key yang betul. Apa master-key yang betul?

1.Yakin Allah Pemberi Rezeki

Master-key paling besar dan tepat adalah…siapa yang memberi rezeki? Yang memiliki rezeki dan pemberi rezeki adalah Allah. Allah itu sifatnya adalah al-Razzaq iaitu Maha Pemberi Rezeki. Apa pun amalan yang dilakukan kena faham dan yakin bahawa Allah itu yang memberikan rezeki.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 212, bermaksud, “Kehidupan dunia (dan kemewahannya) dihiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka(yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya).”

Dalam surah Al-Dzariyat ayat 58 bermaksud, “Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang maha kuat kukuh kekuasaan-Nya.”

2.Takwa dan Tawakal

Yakin sahaja belum cukup untuk menjemput rezeki. Yakin kena bersanding dengan takwa. Dalam surah at-Talaaq ayat 2 dan 3, “…kepada sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan Nya dan meninggalkan larangan Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

Disebutkan dalam ayat itu, sesiapa yang bertakwa dan bertawakal akan diberikan jalan keluar dan diberikan rezeki dengan sumber yang tidak disangka. Di sini membawa maksud syarat utama untuk diberikan rezeki adalah takwa kepada Allah.

Tapi ada syarat! Tawakal itu setelah segala usaha dilakukan. Ini menunjukkan amalan bertakwa kepada Allah adalah medium penyelamat daripada segala kesengsaraan, kemurungan dan kesempitan duniawi ukhrawi serta ketika mati. Ia juga menjadi sumber rezeki yang baik halal dan luas.

3. Istighfar

Setelah yakin bahawa Allah pemberi rezeki, bertakwa dan bertawakal, untuk melengkapkannya kena beristighfar. Imam Ahmad, al-Nasai dan Ibn Majah meriwayatkan daripada Thauban yang bermaksud, “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan dari mendapat rezeki disebabkan dosa yang dilakukannya. Takdir tidak dapat dielakkan melainkan dengan doa. Umur tidak akan bertambah melainkan dengan amalan kebaikan.”

Kuasa istighfar disebutkan dalam surah Nuh ayat 10 dan 11, “Sehingga aku berkata (kepada mereka), ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia maha Pengampun. “Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantar hujan lebat mencurah kepada kamu. “Dan ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak pinak dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai(yang mengalir di dalamnya).”

Perlunya istighfar kerana kita telah melakukan banyak dosa. Salah satu yang menghalang kekayaan dan rezeki adalah kerana banyaknya dosa. Beristighfar maka ia akan menghilangkan dosa, menghapuskan kesedihan, maksiat dan akhirnya akan membawa kebaikan.

Disebutkan di dalam satu riwayat. Pada suatu ketika seorang lelaki datang mengadu kepada Sheikh al-Hasan al-Basri bahawa kawasan tempat tinggalnya dilanda kemarau. Sheikh al-Hasan al-Basri pun menjawab, “Beristighfarlah kepada Allah.” Seorang lagi mengadu ditimpa kemiskinan, seorang lagi mengadu tidak dikurniakan ramai zuriat dan seorang lagi mengadu tentang tanahnya yang tidak subur. Namun Sheikh al-Hasan Al-Basri menyuruh mereka,  “Beristighfar!”

Kaitan antara surah Nuh dengan kisah Hasan al-Basri adalah semua masalah itu boleh diselesaikan dengan istighfar.  Dari situlah menjadi faktor bahawa istighfar itu adalah pembuka pintu rezeki. Istighfar juga adalah membuka segala simpulan dan pemecah kepada segala masalah.

4. Solat Duha

Rasulullah mengerjakan solat duha tetapi tidak menjadikannya amalan harian kerana tidak mahu umatnya menjadikan solat itu sebagai wajib. Ada sebuah hadis dari Aisyah katanya, “Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w. solat sunat duha sekali-kali tidak! Tetapi aku sentiasa mengerjakannya sekalipun beliau tidak. Sesungguhnya beliau menyukai amal tersebut tetapi beliau khuatir umat sentiasa mengamalkannya lalu dianggap wajib.”

Keistimewaan solat Duha ini adalah ketenangan hati, mengelakkan kepapaan, dipermudahkan urusan, menggantikan pahala sedekah dan dicukupkan keperluan seharian. Menariknya tenang solat Duha ini adalah pada doanya. Doa ini bukanlah daripada Rasulullah kerana baginda tidak berapa memberatkan amalan solat Duha kecuali ketika musafir supaya umatnya tahu ia bukan perkara yang wajib.

Doa yang disusun oleh para solihin ini cukup cantik maksudnya, “Ya Allah, bahawasanya waktu Duha itu waktu Duhamu, kecantikan itu kecantikanmu, kindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekutanmu, kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindungan mu. Ya Allah, jika rezeki ku masih di langit turunkanlah dan jika ada di dalam bumi keluarkanlah. Jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Rezeki akan datang apabila kita percaya kepada Allah. Pada asasnya kena terus meminta kepada Allah kerana yang pegang segala-galanya adalah Allah. Yang pegang hati manusia adalah Allah jadi untuk berurusan dengan manusia juga kena meminta pada Allah.

5. Doa

Berdoa apa-apa saja tetapi kena khusus apa yang kita minta. Rasulullah juga ajar kepada umatnya berdoa untuk dimurahkan rezeki. Kalau hendak minta pada Allah kena doa secara spesifik apa yang dimahukan. Walaupun Allah tahu apa yang terlintas di hati kita tetapi adalah lebih baik dinyatakan dengan lebih khusus kerana Allah suka pada hamba-Nya yang mengharapkan pada-Nya dan merendah diri.

6. Bersedekah

Bersedekah bukan sekadar wang ringgit. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Anak Adam berinfaklah, nescaya kamu juga akan diberi rezeki.”

Di dalam hadis yang lain pula baginda bersabda maksudnya, “Janganlah kamu tahan tangan kamu dari berinfak kerana takut miskin sebab nanti Allah akan menyempitkan rezeki bagimu.”

Sedekah ini konsepnya luas tidak semestinya duit. Ia seperti yang dijelaskan di dalam hadis, dari Abu Dzar, katanya beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. pernah berkata kepada baginda, “Kaum hartawan dapat memperoleh pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka. Jawab Nabi s.a.w., “Bukankah Allah telah menjadikan berbagai-bagai macam cara untuk bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah, setiap kalimah takbir adalah sedekah, setiap kalimah tahmid adalah sedekah, setiap kalimah tahlil adalah sedekah, amar ma’ruf  dan nahyi munkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran) adalah sedekah, bahkan pada kemaluan mu juga ada unsur sedekah.” Tanya mereka, “(Kalau begitu), dapat pahalakah kami bila kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah, “kalau kamu melakukannya dengan haram , tentu kamu berdoa. Sebaliknya bila kamu lakukan dengan yang halal, kamu dapat pahala.” (HR Muslim).

7. Bersyukur

Bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada manusia. Ada sebuah hadis dari Abu Daud dan Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda,“Tidak bersyukur kepada Allah orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.”

Allah Maha Kaya, Dia tidak mengharapkan pun manusia bersyukur kepada-Nya. TAPI…Allah kata kalau kamu bersyukur maka akan ditambahkan nikmatnya. Syukur itu sebagai tanda menghargai nikmat Tuhan.

Di dalam surah Ibrahim ayat 7 Allah berfirman, “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah  nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras.”