Mandi Bunga Amalan Atau Sains 

Sains & Islam

Dr. Boris iaitu doktor sains perubatan dari Amerika Syarikat mempunyai pendapat tersendiri mengenai mandi bunga. Katanya mandi dengan kelopak bunga ros adalah penawar yang paling sempurna untuk menentang masalah saraf. Amalan itu boleh mengembalikan keanjalan kulit, awet muda, menghilangkan kebimbangan dan menghaluskan kulit.

Serupalah dengan mandi bunga yang diamalkan oleh orang Melayu untuk menaikkan seri wajah dan awet muda. Mandi bunga itu sendiri sudah cukup dalam rahsianya tanpa perlu ada jampi, mantera atau serapah yang karut marut.

Kalau mengikut sains fizik, rahsia itu dipanggil aura, gelombang atau tenaga yang ada pada bunga ros diperangkap oleh air. Aura atau gelombang itulah yang mengharmonikan tubuh melalui kulit yang menjadi antena untuk menyampaikan maklumat pada saraf, kelenjar dan otak. Jadi, jangan takut untuk mandi bunga kerana ia adalah satu kaedah rawatan semula jadi.

Cukup mudah caranya, tuangkan air panas ke dalam mangkuk kemudian tambahkan setengah mangkuk kelopak bunga ros. Tutup mangkuk itu rapat-rapat supaya haruman minyak wangi dari ros itu tidak keluar. Selepas itu barulah curahkan ke dalam air mandi. Air rendaman bunga ros adalah penawar paling berkesan untuk menghaluskan kulit. Lebih bagus lagi kalau dicampurkan dengan jus bit merah.

Di negara yang panas seperti Malaysia, lebih baik gunakan air sejuk atau air paip biasa yang dicampurkan dengan kelopak bunga ros. Ada juga yang menambahkan ais di dalam air mandi untuk mempercepatkan gelombang itu dipancarkan ke kulit. Air sejuk adalah alat penyerap atau perakam yang sesuai untuk dijadikan sistem penghantar tenaga yang cepat hingga ke sel yang jauh dan menyeluruh. Sebenarnya mandi bunga dengan air sejuk lebih baik berbanding air panas.

Penyegar Udara

Semburan air bunga ros adalah cara terbaik untuk merawat banyak penyakit.  Cara hendak membuatnya pun mudah. Cuma campurkan air panas mendidih dengan kelopak bunga ros dan rendam di dalam mangkuk yang bertutup. Semburkan air rendaman itu kepada pesakit yang menghadapi masalah saraf selama dua minggu, Insya-Allah semuanya akan selesai.

Haruman bunga ros bukan saja untuk orang sakit, yang sihat pun boleh menikmati khasiatnya. Jadi bertambah-tambah sihatlah kalau mengamalkannya kerana semburan air bunga ros bagus untuk menguatkan sistem saraf dan pertahanan badan. Dengan hanya menyapukannya keseluruhan badan, tengoklah kesannya amat besar.

Begitu juga, dengan merendam kaki di dalam air bunga ros yang suam boleh merawat reumatisme. Amat menarik sekali kajian yang dilakukan oleh Dr. Boris, apabila dia meletakkan selimut yang telah dibasahi dengan air bunga ros sebagi alas tilam pesakit. Kemudian dibalut dengan cadar dan selimut yang kering. Dengan cara itu dia mendapati pesakit yang baru menjalani pembedahan cepat sembuh.

Mandi sudah, semburan pun sudah, jadi nikmati anugerah daripada Tuhan yang tidak terkira besarnya. Pada sekuntum bunga yang kecil, diberikan Allah kekuatan untuk menjadi penyembuh bagi banyak penyakit berbahaya.

Ada juga yang mengamalkan makan kelopak bunga ros untuk awet muda dan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit. Betullah dakwaan itu jika dibandingkan dengan kajian yang dilakukan oleh Dr. Boris tentang khasiat bunga ros. Bijaklah yang tahu rahsia itu dan sudah memanfaatkannya sejak lama dulu.

Tekak terasa dahaga pula, kemudian dihidangkan secawan teh kelopak ros…hmmm, leganya. Bukan sekadar menghilang dahaga tapi banyak rahsianya segelas air panas yang bercampur dengan sesudu kecil kelopak bunga ros kering. Baik untuk menentang selesema, faringitis, bronkitis dan pelbagai neurosis. Teh bunga ros adalah minuman paling bervitamin semula jadi, wangi dan sedap.

Sebelum ditinggalkan cerita ini, ada sedikit kepercayaan yang dikutip dari  perubatan tamadun Yunani. Bau-bauan terutamanya wangi-wangian besar pengaruhnya pada kecerdasan mental, kesihatan fizikal dan rohani. Wangi-wangian adalah makanan roh dan akal.

Ahli sufi di India, Khurasan dan Timur Tengah menggunakan wangi-wangian untuk mengubati penyakit jantung, hati, gila, penyakit kelamin dan salur kencing, mengurangkan stres serta menstabilkan emosi.

Ada sebuah hadis yang menceritakan perihal bau Nabi Muhammad s.a.w.  Di dalam hadis itu Anas r.a menceritakan yang bermaksud, “Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi daripada bau Rasulullah s.a.w.” (sahih Bukhari Muslim)

Dan Nabi juga tidak pernah menolak jika ada seseorang memberinya minyak wangi. Malah disunatkan kita menerima wangian itu sebagaimana yang disebut di dalam sabdanya, “Sesiapa yang dipelawa minyak wangi janganlah dia menolak.” (riwayat Muslim).