Lelaki Juga Punya Idah?  

Feqah

“Ustaz, lelaki ada idah ke?,”  tanya  seorang rakan  kepada seorang ustaz  apabila  dia cuba mendapatkan kepastian  sama ada  lelaki perlu melalui frasa idah  atau sebaliknya jika ingin berkahwin lain selepas berlakunya perceraian hidup atau mati.

Sambil tersenyum sinis,  si ustaz berkata, “Lelaki mana ada idah.  Idah hanya untuk  perempuan,” jawabnya ringkas.

“Kenapa? Kamu hendak berkahwin ke?,”tanya ustaz itu kembali.  “Taklah  ustaz. Yang hendak berkahwin ialah bapa mertua  saya.  Dia kan baru kematian  isteri…,”  jawabnya  sambil tersenyum.  Si menantu akhirnya tersenyum puas apabila mendapat pengesahan daripada seorang ustaz tentang kemusykilannya.

Itu senario  yang  biasa kita  dengar dan kita tahu.  Bahkan  dalam mana-mana tafsiran tentang perkataan idah pun ia akan merujuk kepada  perkataan isteri atau perempuan. Dengan kata lain, hanya wanita yang akan terikat dengan idah.  Misalnya mengambil contoh definisi yang  dikeluarkan  oleh buku  Kamus Istilah undang-undang Keluarga Islam turut menjelaskan seperti berikut :

‘Idah, satu istilah dalam bahas Arab yang bererti menghitung dalam konteks perceraian. Bermakna waktu menghitung atau waktu menunggu oleh bekas isteri yang telah diceraikan oleh suaminya atau  yang telah meninggal dunia. Dalam  masa ini,  bekas isteri tiak boleh berkahwin lain. Tempohnya adalah bergantung pada keadaan isteri untuk menentukan sama ada perempuan itu hamil atau tidak dan dengan itu dapat diketahui siapa bapa kepada anak  di dalam kandungannya….”.

Namun idah tidak tertakluk untuk wanita yang  diceraikan  sebelum  disetubuhi oleh si suami.

Apa pun,  perbincangan tentang idah tidak sedikit pun menyentuh jantina lawan bagi si isteri.  Dan tidak hairanlah jika  masih ramai masyarakat yang  tidak tahu  bahawa idah juga terikat untuk  golongan lelaki!

Ternyata  sangkaan idah hanya eksklusif untuk wanita dan sinonim  dengan wanita harus diubah. Dalam beberapa keadaan, lelaki  hakikatnya juga ada idah yang perlu dilalui  sama sebagaimana  yang  dilalui oleh wanita.

Tetapi lelaki tidak mengandung atau hamil dan tidak juga ada rahim. Ini kerana tujuan beridah adalah untuk memastikan rahim wanita suci daripada sebarang janin atau ‘benih’ bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Oleh itu kenapa pula perlu beridah? Berikut  penjelasannya  ;

Menurut Siti Shamsiah Md. Supi, Pegawai penyelidik Syariah,  Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), pada asasnya, tiada idah bagi lelaki. Ini kerana lelaki boleh berkahwin dengan mana-mana perempuan sebaik sahaja bercerai selagi mana tidak terdapatnya halangan syarak. Bagaimanapun, sekiranya terdapat halangan syarak, maka seseorang lelaki hendaklah menunggu sehingga hilangnya halangan tersebut.

Ujar Siti Shamsiah, terdapat tiga keadaan yang menyebabkan seseorang lelaki perlu melalui tempoh menunggu atau pun beridah.

Pertama, apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh idah isteri  yang diceraikan tersebut.

Kedua, seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka dia hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat idah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.

Ketiga, apabila seseorang lelaki yang telah pun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi sedemikian, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh idah isteri yang diceraikannya berakhir terlebih dahulu.

“Pernikahan tidak boleh berlaku dalam tempoh idah.  Dan perkahwinan tersebut tidak sah dan haram hukumnya. Apabila dalam tempoh idah, wanita yang diceraikan masih lagi dianggap sebagai isteri dan suami wajib memberi nafkah idah,”ujarnya.

Ada sebab dan hujah mengapa lelaki dalam keadaan-keadaan tertentu  dikehendaki melalui tempoh berhujah.  Menurut Siti Shamsiah, dalam keadaan pertama, sepanjang tempoh tersebut si suami tidak boleh berkahwin selagi idah isteri belum habis kerana dikhuatiri si suami secara tiba-tiba ingin merujuk kembali kepada isteri yang diceraikan.  Ini kerana, Islam hanya membenarkan seorang lelaki mengahwini empat orang perempuan sahaja dalam satu masa.

Begitu juga dalam keadaan ketiga, kerana  ia  sudah pasti akan  melibatkan konflik emosi.  Dan kerana itulah Islam  menetapkan supaya lelaki tersebut melalui tempoh beridah.  Ujar Siti Shamsiah, seorang lelaki yang  menceraikan isteri untuk mengahwini adik atau mahram kepada bekas isterinya itu akan menyebabkan berlakunya pertembungan dua konflik emosi, iaitu, sedih (pihak yang diceraikan) dan gembira (pihak yang dikahwini). Walhal mereka berada dalam satu keluarga yang sama.

“Mana mungkin sekiranya kakak (yang diceraikan) masih dalam tempoh berkabung, manakala adik (yang dikahwini) pula boleh bergembira dengan situasi tersebut. Sekiranya berlaku perkahwinan yang tidak melibatkan kaitan keluarga tidak menjadi masalah. Islam telah mengatur satu sistem kekeluargaan yang cukup kemas dan tersusun agar tidak berlaku double standard dan timbul masalah di kemudian hari,”katanya.