Khashoggi Dipukul Hingga Mati Dan Dikerat?

Berita

Reuters Photo

Wartawan Washington Post dan Riyadh mendedahkan, Jamal Khashoggi telah diberi dadah, dibunuh dan badanya dipotong menjadi kepingan, begitu yang dilaporkan beberapa saluran berita antarabangsa pada 16 Oktober lalu yang memetik ucapan beberapa pegawai Turki.

Menurut laporan, pasukan penyiasat Turki dan Pendakwa yang menjalankan siasatan selama sembilan jam di pejabat konsulat Arab Saudi, Istanbul, menemukan bukti bahawa Khashoggi dibunuh di dalam bangunan tersebut.

Pada lewat petang Selasa, memetik ucapan pegawai Turki yang namanya tidak mahu disebut, seperti yang dilaporkan CNN bahawa Khashoggi dibunuh dalam misi Saudi dan tubuhnya dikerat.

Sejurus pengumuman di CNN, Al-Jazeera Bahasa Arab, juga memetik ucapan pegawai Turki tersebut berkata Khashoggi diserang serta merta selepas memasuki konsulat dan tiada soal siasat dijalankan.

Menurut Al-Jazeera, Khashoggi telah diberi dadah dan dibawa ke bilik Ketua Konsul Arab di mana dia dipukul sehingga mati di hadapan ketua konsul. Khashoggi telah terbunuh tujuh minit selepas memasuki bangunan konsulat.

Sebagaimana yang dilaporkan Al Jazeera,  Dr. Salah Muhammed Al-Tubaigy, Ketua Forensik, Jabatan Keselamatan Arab, meminta ketua konsul meninggalkan bilik sebelum meneruskan proses memotong jasad Khashoggi. Manakala doktor yang menjalankan prosedur memotong jenazah Khashoggi mengarahkan yang lain agar mendengar muzik semasa dia menjalankan kerjanya.

Al Jazeera berkata pegawai-pegawai Turki mendakwa wujud rakaman tindakan yang ngeri.

Berikutan laporan itu, Presiden AS Donald Trump berkata Putera Mahkota Arab Saudi menafikan mengetahui tentang apa yang berlaku kepada Khashoggi menerusi panggilan telefon.

“Cuma bercakap dengan Putera Mahkota Arab Saudi yang menafikan mengetahui tentang apa yang berlaku di konsulat Saudi di Turki, ” Trump berkata dalam Twitter, merujuk kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Kehilangan Khashoggi

Wartawan kanan Khashoggi, telah hilang sejak 2 Oktober lalu selepas memasuki Konsulat Saudi untuk melengkapkan dokumen perkahwinannya. Tunang dan kawan-kawannya memberitahu, sejak itu Khashoggi tidak kelihatan meninggalkan bangunan tersebut. Rakan-rakan wartawan dan beberapa pegawai Turki telah menyuarakan kebimbangan bahawa dia telah dibunuh di konsulat itu.

Sebelum itu, beberapa pegawai Arab Saudi telah menafikan terlibat dalam kejadian tersebut. Mereka mendakwa wartawan berusia 58 tahun itu, hilang selepas meninggalkan konsulat.  Namun laporan dalam media Amerika Syarikat pada Selasa, mengatakan kerajaan mungkin mengetahui bahawa Khashoggi telah dibunuh semasa soal siasat dijalankan.

Khashoggi, yang boleh dikatakan dekat dengan keluarga diraja Arab Saudi, menjadi pengkritik kerajaan dan Putera Mahkota Mohammed, pewaris berusia 33 tahun yang ketara menunjukkan sedikit toleransi untuk kritikan.

Sebagai penulis tetap The Post, Khashoggi banyak menulis mengenai Arab Saudi, termasuk kritikan terhadap peperangan yang berlaku di Yaman. Dan, baru-baru ini mengenai perbalahan diplomatik dengan Kanada dan penangkapan aktivis hak-hak wanita selepas pemansuhan larangan memandu ke atas wanita.

*Artikel asal telah diterbitkan dalam Daily Sabah- www.dailysabah.com