Kewajaran Penggunaan  Pembesar Suara Bacaan al-Quran  dipertikaikan

Feqah

Oleh: Ahmad Nasaruddin Abdul Rahman

Suatu ketika dahulu kecoh apabila Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan nasihat hukum melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum subuh kerana mendapati amalan itu bercanggah dengan hukum syarak dan mengganggu orang lain.

Justeru, pelbagai komen dan respons timbul, baik yang menyokong mahupun yang menentang. Persoalannya, adakah (mengangkat suara) bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara dilarang sama sekali dalam syariat Islam.

Demi merungkaikan kemelut tersebut, Al Islam menemui Mohd Khafidz Soroni dari Jabatan al-Quran dan as-Sunnah, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bagi mendapatkan pandangan.

Menurut Mohd Khafidz, hujah dan konklusi berkenaan larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum subuh seharusnya memerlukan penilaian semula. Hanya dengan mengguna pakai sebuah dalil sahaja tanpa melihat atau meninggalkan terus dalil-dalil yang lain dan terus diputuskan hukum atau fatwa darinya adalah bukan langkah yang sewajarnya.

Ujarnya, setiap isu ada hukum yang khusus. Adalah tidak bersesuaian menjatuhkan hukum secara mutlak untuk semua keadaan dan situasi kerana dibimbangi  boleh menimbulkan halangan dan kekeliruan bagi umat Islam dan ini bertentangan dengan fiqh Islam itu sendiri.

Katanya lagi, menurut pandangan Mazhab Syafie, sesuatu hukum asalnya adalah harus. Bagaimanapun, hukum harus boleh berubah menjadi makruh dan haram dan ia berkaitan dengan suasana. Begitu juga dengan hukum (mengangkat suara) membaca al-Quran menggunakan pembesar suara asalnya harus. Tetapi boleh menjadi makruh dan haram jika tidak kena dengan suasana dan keadaan.

Menurut Imam Nawawi, sekiranya memperlahankan suara itu dapat menjauhkan diri dari perasaan riak, maka afdal diperlahankan. Sebaliknya afdal dikuatkan bacaan sekiranya dapat memberi manfaat dan mengetuk pintu hati pendengar untuk lebih fokus pada bacaan al-Quran. Di samping itu dapat mencergaskan minda dan fizikal  serta menghilangkan rasa mengantuk supaya dapat mempersiapkan diri untuk melakukan ibadah.

“Dalam Islam disyariatkan mengangkat suara bukan sahaja azan, tetapi termasuklah iqamat, talbiah, takbir raya, bacaan al-Quran atau zikir (mengikut situasi) dan juga khutbah.

“Memang terdapat larangan mengangkat suara ketika membaca al-Quran bagi mengelakkan berlaku gangguan dan sebagainya. Namun terdapat juga dalil yang mengharuskan mengangkat suara bacaan al-Quran sepertimana hadis sahih riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud  bahawa Nabi s.a.w. bersabda kepada Abu Bakar r.a.,

Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca dan kamu merendahkan suara. Jawab Abu Bakar, “Sesungguhnya aku hanya memperdengarkan kepada sapa yang aku bermunajat kepada-Nya.” Balas baginda, “Angkatlah sedikit (suaramu)”. Dan baginda juga bersabda kepada Umar r.a.” Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu mengangkat suara. Jawab Umar, “Sesungguhnya aku ingin membangkitkan orang yang mengantuk dan mengusir syaitan.” Balas baginda: Rendahkan sedikit (suaramu) .”

Di sini  jelas Mohd Khafidz,  Nabi s.a.w. menyuruh mengangkat suara jika ia  terlalu perlahan atau tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan melarang mengangkat suara jika ia  melebihi had atau menimbulkan perasaan riak dan ujub yang ditegah oleh syarak.

Antara hujah yang dibangkitkan oleh mereka yang melarang dari mengangkat suara dalam beribadah ialah hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud dalam sunannya yang bermaksud, “Ketika Nabi s.a.w. beriktikaf  (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w. berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda; “Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara melebihi yang lain dalam bacaan.”

Lihat situasi

Menurut Mohd Khafidz, hadis ini perlu diteliti dari pelbagai aspek. Selain tekstual hadis, perlu juga dilihat dari sudut kontekstual hadis. Perlu juga ditinjau dengan membuat komparatif dengan nas-nas lain, serta situasi ‘urf’ dalam soal penggunaan pembesar suara.

Tanda-tanda pada zahir hadis tersebut seperti sedang beriktikaf, bermunajat dan kadar suara ramai yang mengganggu juga menunjukkan, ia bersifat khusus. Boleh dikatakan situasi pada masa itu ialah waktu malam yang suasananya sunyi dan hening. Maka amat sesuailah pada masa itu dielakkan sebarang gangguan bising dan amat tepatlah teguran Nabi s.a.w. kepada para sahabatnya.

“Realiti yang berlaku pada masa kini, penggunaan pembesar suara biasanya selesai pada atau selepas waktu Isyak atau lebih sedikit jika ada penceramah yang melanjutkan celotehnya. Dan bermula semula pada waktu pagi sebelum atau pada waktu fajar.

“Justeru tidak berlaku sebarang gangguan pembesar suara antara waktu Isyak sehingga Subuh.  Soalnya, bagaimana situasi sedemikian dapat dikiaskan dengan hadis di atas yang zahirnya ditujukan pada waktu dua pertiga malam atau separuh malam ataupun sepertiga malam,”katanya.

Jelasnya lagi, isu utamanya di sini ialah ‘mengganggu’. Sewajarnya diteliti gangguan yang bagaimana. Gangguan pula boleh ditafsirkan berbagai-bagai, terpulang mengikut persekitaran penduduk sama ada majoritinya Islam atau bukan Islam. Bagi orang Islam tidak wajar menganggap ia sebagai satu gangguan kerana ia adalah suatu rahmat dan bertujuan mengejutkan lebih awal supaya bersiap menunaikan solat subuh.

“Sebaik-baiknya, bacaan al-Quran pada waktu sebelum Subuh tidaklah terlalu lama dan kuat sangat sehingga bergema seluruh kawasan dan seelok-eloknya mengambil masa lima hingga sepuluh minit sebelum azan subuh berkumandang,”sambungnya lagi.

Malah Nabi sendiri menganjurkan supaya ‘mengganggu’ orang yang sedang tidur untuk solat subuh. Iaitu menganjurkan dua azan, azan pertama bertujuan mengejutkan orang yang sedang tidur dan azan kedua  menandakan masuknya waktu subuh.

Sebagaimana hadis dari Abdullah bin Mas’ud r.a. katanya,“Janganlah seseorang kamu terhalang untuk bersahur dengan azan Bilal. Dia menyeru sebelah malam sebelum subuh bertujuan  mengembalikan orang-orang yang sedang qiam di kalangan kamu  dan mengejutkan orang yang sedang tidur.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Masalah Ahli Jawatankuasa 

Mengenai pandangan yang mengatakan bacaan al-Quran tidak perlu menggunakan pembesar suara bagi mengelakkan untuk tidak dihormati, kata Mohd Khafidz, perkara ini tidak sepatutnya timbul. Ini kerana pada waktu subuh kebiasaannya orang baru bangun tidur dan suasana pada ketika itu sunyi sepi dan orang biasanya akan diam dan tidak berbual dan bersembang.

Berbeza pada waktu-waktu lain, di mana hanya mereka yang faham akan diam dan menghormati serta menghayati bacaan al-Quran tersebut. Maka pada waktu-waktu lain itu elok diganti dengan zikir, selawat ataupun doa.

“Isu sebenarnya bukan masalah penggunaan pembesar suara, atau membenarkan hanya azan sahaja di pembesar suara. Tetapi adalah masalah kefahaman orang, terutama Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid atau surau terhadap situasi yang mereka duduki.

“Kita ada pelbagai situasi. Ada masjid di kampung dan ada masjid di bandar. Ada pula masjid yang jauh dari kawasan perumahan dan ada yang dekat. Malah ada masjid yang berhimpit-himpit dengan rumah kediaman, dan kawasan perumahan itu pula ada yang majoritinya beragam Islam dan ada pula yang bukan beragama Islam.

Ada sebahagian penduduknya tidak kira Islam dan bukan Islam bersatu hati dan ada pula yang berbalah dan tidak bersatu hati. Terdapat juga masjid yang berdekatan dengan hospital dan sesetengahnya pula berhampiran dengan tempat maksiat.

“Peralatan pembesar suara juga perlu diambil kira. Ada peralatan yang mahal dan mengeluarkan bunyi yang enak dan merdu. Ada pula yang murah dan mengeluarkan suara yang serak dan berdesing sekali-sekala.  Begitu juga halnya dengan tugas bilal. Ada bilal yang membacakan (atau memasang kaset) al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan. Dan ada bilal yang membacakan (atau memasang kaset) al-Quran atau zikir pada waktu tertentu sahaja sebelum azan seperti waktu subuh dan maghrib.

“Bayangkan sekiranya masjid tersebut terletak di kawasan yang majoritinya bukan Islam, atau sangat berhampiran dengan hospital, dan alat pembesar suaranya pula sering ‘terbatuk-batuk’, dipasang pula alunan bacaan al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan dan bilalnya pula bersuara ‘serak-serak basah’. Apakah sama situasi dan hukumnya berbanding dengan masjid di kampung yang penduduknya bersatu hati dan sudah terbiasa dengan alunan bacaan al-Quran atau zikir pada waktu sebelum subuh dan maghrib, manakala bilalnya pula bersuara lunak merdu?,”soalnya.

Dalam hal ini, ujar  Mohd Khafidz, sebenarnya tidak menjadi masalah pun sekiranya tidak mahu memasangnya, kerana hukum asalnya adalah harus. Dan menggunakan pembesar suara atau tidak, bergantung pada kesesuaian keadaan, masa dan juga suasana. Sederhana menurut keperluan itulah yang lebih baik.