Keistimewaan Membaca dan Hafaz Al Quran 

Tafsir Ayat

Oleh : Mohd Mubaraq Akbal

Allah berfirman,“Sebenarnya, Al-Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang -orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Ankabut ayat 49)

Adapun Al-Quran itu diturunkan kepada nabi junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menjadi panduan dan pedoman hidup kita di dunia dan untuk bekalan di akhirat kelak. Ia merupakan satu panduan yang lengkap kepada seluruh umat manusia khususnya umat Islam. Di dalamnya terkandung segala macam kelebihan, cara-cara serta ayat-ayat Allah yang menyeru umat Islam di dunia ini untuk berbakti dan sujud kepada Nya.

Al Imam Jalaludin As-Suyuqi dalam kitab Al Itqan Fi Ulumil Quran menyatakan pengertian Al Quran iaitu :

  1. Kitab yang penuh mukjizat yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.
  2. Kitab yang diturunkan, ini membuktikan ia bukan ciptaan Nabi, sebaliknya merupakan ciptaan Allah. Maka ketulenannya terjamin, sesiapa pun tidak dapat menyangkalnya.
  3. Sebagai sebuah kitab yang dibaca, atau dihafaz. Jika dibaca menjadi satu ibadah dan mendapat ganjaran pahala, apatah lagi jika menghafaznya.

Nabi Muhammad  s.a.w ada menyebut, “Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu menyamai 10 kebajikan yang seumpama dengannya, aku tidak bermaksud satu huruf itu alif, lam dan mim, tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf.  (Diriwayatkan dari Abdullah B. Mas’od, hadith Hassan Sahih)

Rasulullah s.a.w bersabda, “Semulia-mulia kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain. (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Ternyata al-Quran mempunyai pelbagai kelebihan di dalamnya. Maka, menjadi satu kemestian kepada umat Islam mengamalkan pembacaan al-Quran. Walaupun tidak dapat membacanya setiap hari dalam jumlah yang banyak, tetapi jika dibaca sehari satu ayat sekalipun, kita akan tetap mendapat ganjarannya.

Antara kelebihan-kelebihan bagi individu yang membaca dan menghafaz al-Quran berdasarkan sabda Rasulullah iaitu, 

  1. Orang mukmin yang membaca al-Quran

Rasulullah mengumpamakan mereka ini sebagai sebiji limau atau uttrujjah di mana baunya harum, dan rasanya manis.

  1. Orang mukmin yang tidak membaca Al Quran

Nabi mengumpamakan sebagai buah tamar, yang tidak mempunyai bau, tetapi rasanya manis dan sedap.

  1. Golongan munafik

Nabi berkata, seperti Raihanah (bauan) baunya harum tetapi rasanya pahit. Contohnya ialah seperti orang yang membaca al-Quran untuk memenangi sesuatu pertandingan.

  1. Golongan munafik yang langsung tidak membaca al-Quran

Seperti hamzalah atau timun yang pahit, tiada bau, sementelah rasanya lagi pahit.

Kelebihan di Dunia 

  1. Dijanjikan rezeki yang melimpah

Rezeki yang melimpah ini tidak kira sama ada dari segi kesihatan, perniagaan, dan sebagainya.

  1. Berdisiplin

Individu yang membaca atau menghafaz al-Quran, secara langsung akan menjadi seorang yang berdisiplin. Dia akan menjaga kehormatan al-Quran, serta menjaga perangai dan tingkah lakunya agar tidak hilang segala hafalannya.

  1. Kuat ingatan

Untuk menghafaz al-Quran, seseorang itu perlu memahirkan dirinya dengan bacaan al-Quran, barulah dapat menghafaznya. Dengan ini secara tidak langsung akan menjadikan seseorang itu kuat ingatannya.

  1. Membersihkan hati

Untuk membaca al-Quran, apatah lagi jika ingin menghafaznya, seseorang itu perlulah membersihkan hatinya dari sebarang dosa, baik dosa kecil mahupun dosa besar. Ini kerana setiap dosa yang dilakukan itu ibarat setitik noda hitam di dalam hati yang akan menjadi banyak dan seterusnya akan menutupi hati dari Nur (cahaya) dan hidayah Allah. Apabila hati bersih, maka mudahlah kita untuk membaca dan menghafaz al-Quran.

  1. Menjelmakan akhlak yang mulia

Saidatina Aisyah meriwayatkan (sahabat bertanya) bagaimanakah akhlak Rasulullah, maka jawab Aisyah, “Akhlak Rasulullah adalah seperti al-Quran yang bergerak.”

Untuk membaca al-Quran, kita perlu membersihkan diri dari sebarang bentuk maksiat atau perlakuan yang berdosa. Dari situ, diri kita akan terlatih untuk menjadi seseorang yang berakhlak mulia. Hal ini merangkumi dari segi pertuturan, pandangan, pendengaran dan fikiran.

Rasulullah ditarbiahkan selama 23 tahun dengan al-Quran. Dengan itu, sesuai benarlah akhlaknya yang sangat mulia atau terpuji (maksud nama Muhammad)

  1. Mengasah suara

Bukan bermaksud mengasah suara untuk menyanyi, tetapi sesiapa yang rajin membaca al-Quran, dan mengamalkannya sejak kecil, suaranya akan menjadi lunak dan indah kedengaran. Hal ini kerana, al-Quran dibaca dengan penuh tartil, tertib, mengikut hukum tajwid, dan diserikan lagi dengan keindahan ilmu taranum.

  1. Tiada yang fakir, papa kedana, dan menderita

Allah s.w.t yang menurunkan al-Quran, maka Allah juga akan menjaga sesiapa yang membaca, menghafaz, dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam kitab Nya. Bukan bermaksud miskin harta atau hidup melarat, tetapi Allah memberikan kesenangan dan kemudahan dalam segala urusan kepada sesiapa yang membaca dan mengamalkan ayat-ayat Allah.

  1. Diangkat menjadi pemimpin

Sesiapa yang membaca, apatah lagi menghafaz al-Quran, maka dirinya akan diangkat menjadi pemimpin. Hal ini merupakan kesinambungan dari disiplin seseorang, kebolehan berhujah yang meyakinkan, serta akhlak yang mulia,  sekali gus menjadikan seseorang itu pilihan utama untuk menjadi ketua.

Kelebihan di Akhirat

Selain dari kelebihan di dunia, individu juga akan menikmati pelbagai keistimewaan di akhirat. Antaranya ialah :

  1. Menjamin keturunan

Hadis riwayat Al Hakim,  “Barang siapa yang menghafal al-Quran, maka akan dipakaikan mahkota kepada kedua-dua ibu bapanya, di mana cahaya yang memancar dari mahkota itu adalah lebih baik dan lebih menyinar dari cahaya matahari yang ada di dunia ini.”

  1. Para syuhada perang Uhud

Nabi  s.a.w memuliakan orang yang menghafaz al-Quran seperti ganjaran pahala yang diperoleh  oleh para syuhada yang syahid semasa perang Uhud.

Bonus

Allah  s.w.t akan memberikan bonus (syafaat dan sebagainya) kepada golongan yang menjaga dan menghafaz al-Quran di akhirat kelak. Dari Abdullah Mas’ud r.a, dia berkata, “Sesungguhnya al-Quran ini adalah tali bagi Allah, cahaya penyembuh yang sangat mujarab, pelindung bagi orang yang berpegang padanya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, tidak membelokkan melainkan meluruskannya. Keajaibannya tidak pernah habis, dan tidak pernah membosankan meski dibaca berulang-ulang. (Hadis riwayat Ad – Darimi)