Hendak wangi atau busuk?

Feqah

Oleh: Norimanah Seman

“Kosmetik halal? Mana ada istilah kosmetik halal di dalam Islam sedangkan bersolek dan berhias itu sudah haram bagi perempuan.” Itulah komen dari salah seorang pembaca Al-Islam yang tidak bersetuju dengan isu yang dibincangkan oleh majalah ini dalam keluaran Disember 2010.

Benarkah di dalam Islam tidak dibenarkan bersolek atau berhias?  Bila sudah dikatakan bahawa perempuan tidak boleh berhias maknanya tidak perlulah lagi kosmetik halal. Bukan begitu maksudnya?

Bagi memahami sama ada wanita boleh bersolek dan berhias, eloklah kita merujuk kepada al-Quran dan sunah. Sememangnya di dalam al-Quran ada disebutkan larangan perempuan untuk berhias. Ia disebutkan di dalam surah Al-Ahzab: 33, yang maksudnya, “Dan tetaplah di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dahulu.”

Ayat itulah yang menjadi sandaran bagai orang tertentu untuk mengatakan bahawa perempuan tidak dibolehkan berhias. Ada juga yang mengatakan bahawa perempuan sudah dijadikan oleh Allah secara semula jadinya cantik. Makanya ia tidak perlu lagi bersolek dan menepek muka dengan segala jenis alat solek.

Kemudian ada juga yang mengatakan bahawa perempuan hanya wajib berhias untuk suami dan ketika keluar bersama suami. Selain daripada itu, perempuan tidak boleh mengenakan alat solek langsung. Semuanya haram bagi perempuan kerana ia serupa perlakuan orang jahiliah. Begitu juga dengan memakai wangi-wangian. Tidak boleh dan tidak Islamik.

Apa itu kosmetik?

Sebelum pergi lebih jauh, rasanya lebih baik diberi penjelasan sedikit tentang maksud kosmetik itu sendiri. Menurut Bahagian Hab Halal JAKIM, istilah kosmetik adalah merujuk kepada semua bahan yang digunakan di bahagian luaran. Ia termasuklah kegunaan pada kuku, gigi, rambut, kulit dan mulut. Bahan-bahan itu termasuklah losen, syampu, ubat kumur, ubat gigi, bedak, mekap, deodoran, sabun mandi, minyak rambut, penjagaan muka dan perapi badan.

Sudah dijelaskan sepenuhnya, yang dimaksudkan kosmetik itu bukan saja terhad pada mekap, lipstik, celak, bedak, pembayang mata dan pemerah pipi. Harapnya selepas ini tidak ada lagi salah faham dengan istilah kosmetik itu sendiri.

Al Islam juga  membincangkan kosmetik itu bukan saja hanya memfokuskan kepada mekap saja tetapi merangkumi penjagaan kebersihan, perapi dan dandanan badan. Yang penting, kosmetik bukanlah untuk membaik pulih atau mencantikkan tetapi sekadar menambahbaikkan saja.

Istilah kosmetik sudah dijelaskan, sekarang masuk pula pada soal hukumnya pula. Untuk membicarakan hal tersebut, hanya yang pakar saja mampu menerangkannya lebih lanjut. Untuk itu Al Islam telah memanjangkan hal tersebut kepada Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek, Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hukum bersolek itu, kata Prof. Siti Rugayah, bagi perempuan adalah bergantung kepada keadaan, niat atau tujuan ia dilakukan. Adakala hukumnya wajib, sunat, makruh dan haram.

Tambahnya, kebanyakan orang tidak faham apa yang dimaksudkan kosmetik sebab itulah sewenang-wenangnya terus mengatakannya haram. Bila sebut saja perkataan itu semua orang menganggap ia adalah mekap. Sebenarnya kosmetik itu termasuklah penjagaan kebersihan seperti yang disebutkan tadi. Di dalam Islam penjagaan kebersihan adalah suatu perkara yang diperintahkan oleh Allah. Ia adalah sunat hukumnya dan dalam keadaan tertentu, menjadi wajib.

“Islam menyuruh kita membersihkan diri. Sehinggakan ada hadis yang menganjurkan bahawa bersugi itu sunat. Di dalam hadis itu nabi bersabda, “Kalau aku tidak menyusahkan umatku nescaya aku wajibkan bersugi setiap kali hendak bersolat”. Apa yang saya boleh jelaskan dari hadis itu betapa pentingnya menjaga kebersihan dan yang sesuai dengan zaman itu adalah bersugi.

“Dan sekarang keadaannya berlainan pula menjaga kebersihan bukan sekadar bersugi tetapi meliputi seluruh badan. Apabila hendak membersihkan diri kita perlukan syampu, sabun, pencuci muka, ubat gigi dan gel mandian. Ini bermakna, mahu atau tidak kita kena memilih produk yang halal.

“Setiap hari kita perlu berhubungan dan berinteraksi dengan orang lain, perkara pertama yang perlu difikirkan adalah kebersihan. Jika badan berbau busuk dan kurang menyenangkan ia akan menyebabkan orang sekeliling tidak selesa.

“Di dalam keadaan ini, menjaga kebersihan itu menjadi hampir kepada wajib kerana melibatkan keselesaan orang lain. Menjaga Kebersihan badan juga termasuk di dalam kategori berhias. Jadi, untuk melakukan semua itu kita memerlukan kepada kosmetik halal untuk menjaga ibadat,” jelas Prof. Siti Rugayah yang juga Pensyarah Jabatan Dakwah dan kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

 Berhias dan bersolek haram?

Pergi pula kepada persoalan utama iaitu bersolek itu  haram seperti yang disebut surah Al-Ahzab: 33, “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah dahulu.”

Di dalam ayat itu disebut tabarruj (berhias diri). Jelas Prof. Siti Rugayah, ia membawa maksud berhias diri yang keterlaluan hingga membuka aurat, menonjolkan diri dengan pakaian yang boleh menarik pandangan orang lelaki  dan bersolek yang berlebih-lebihan. Di dalam keadaan ini memanglah berhias itu adalah diharamkan.

Namun katanya lagi, bersolek masih dibolehkan bagi wanita dan menjadi wajib jika ia dilakukan untuk suami. Begitu juga jika menghadiri majlis yang memang dikhaskan untuk perempuan semuanya. Di dalam keadaan ini pun kita dibolehkan berhias serta memakai wangi-wangian.

Sebagai buktinya, Prof Siti Rugayah menjelaskan bahawa ada satu hadis nabi menuntut wanita untuk berhias sebab itulah disunat bagi wanita memakai inai.  Yang mana pemakaian inai itu hanyalah sunat untuk wanita saja dan lelaki tidak boleh memakainya. Ini bermakna Allah pun tidak melarang wanita untuk berhias.

Pun begitu, berhias diri ada batas-batasannya iaitu tidak boleh menarik pandangan orang yang berlainan jantina dan keterlaluan. Begitu juga dengan minyak wangi, wanita juga dibolehkan untuk memakainya jika tujuan memakainya untuk menghilangkan bau busuk badan. Manakala yang dilarang dan menjadi haram apabila minyak wangi itu menyebabkan orang lain tertanya-tanya dan bauan itu menjadi pengenalan diri seseorang. Selagi masih berada di dalam keadaan bersederhana, maka Islam membenarkannya.

Wanita berhias keluar rumah tanpa ditemani suami?

Di dalam keadaan ini pula, Prof. Siti Rugayah, menjelaskan hukumnya tidak boleh terus dikatakan haram. Selagi perempuan itu berhias diri dengan cara yang sederhana dan normal bukan haram sebenarnya. Kebanyakan wanita berhias adalah untuk menjaga penampilan, kelihatan kemas, supaya kulit muka tidak berkilat dan penampilan nampak berseri. Tidak menjadi kesalahan apabila mengenakan alat mekap yang asas selagi ia tidak menyukarkan kita untuk mengambil wuduk.

“Yang menjadi haram apabila bersolek itu boleh menonjolkan diri seseorang dan boleh menarik pandangan lelaki lain. Satu lagi, kalau perempuan itu bersolek dengan pembayang mata yang bermacam-macam warna dan pipi merah ketika itu barulah boleh dikatakan haram.

“Begitu juga halnya bersolek hingga mencabut bulu kening, merapikannya dan melukis kening supaya kelihatan cantik, juga haram. Jika bercelak biasa dan sederhana itu tidak menjadi kesalahan malah ia disunatkan pula.

“Dan yang paling dilarang keras sekali adalah apabila kita mengubah ciptaan tuhan. Umpamanya membuat hidung supaya menjadi mancung dan menyuntik botox untuk mengubah wajah serta menghilangkan kedut,” jelasnya.

Kemudian timbul pula persoalan bahawa dengan bantuan mekap pun wajah boleh berubah yang tidak mancung boleh mancung. Di dalam keadaan ini ada yang mengatakan bahawa mekap itu adalah haram kerana mengubah ciptaan tuhan.

“Bagi saya mekap bukanlah perubahan yang kekal. Walaupun muka akan berubah namun masih tidak menjejaskan bentuk asal muka. Perubahan itu sementara saja, yang tidak boleh adalah perubahan dalam bentuk kekal,” terangnya.