Bunga Ros:  Andai ku tahu rahsianya

Sains & Islam

Sewaktu zaman kegemilangan kerajaan Islam Bani Umaiyyah, Andalus, hospital Islam adalah yang pertama mengamalkan terapi wangian. Seluruh hospital termasuk wad dipenuhi dengan haruman bunga ros sebagai ganti bau ubat-ubatan. Ternyata usaha itu berjaya memberikan penyembuhan yang cepat kepada pesakit.

Kebanyakan pesakit yang datang tidak sempat mendapatkan rawatan daripada doktor sudah sembuh sepenuhnya. Haruman mawar yang digunakan menjadi sebahagian penawar yang mujarab tanpa ubat tambahan.

Di sebalik rahsia itu timbul persoalan, apa sebenarnya yang tersembunyi. Haruman bunga ros sebagai penawar penyakit yang digunakan meluas di dalam perubatan Islam silam, di mana kekuatannya? Kaedah ini juga dinamakan sebagai terapi wangian atau orang sekarang panggil aromaterapi.

Bunga ros itukah yang ada kuasa penyembuh atau bauan yang dikeluarkan? Dari sudut sains bagaimana pula?

Kalau mengikut sejarah,  Ibn Sina adalah sarjana Islam pertama yang berjaya menemukan kaedah rawatan menggunakan aromaterapi. Beliau juga mencipta proses penyulingan wap pada abad ke-11 untuk menghasilkan minyak pati bunga bagi tujuan rawatan aromaterapi.

Sejak zaman Mesir purba, bunga ros telah digunakan sebagai wangian penyegar udara dan minyak wangi. Manakala ketika zaman Greek, Hippocrates menggunakan bunga ros yang dicampurkan dengan minyak untuk merawat penyakit berkaitan dengan sistem peranakan. Pakar perubatan India pula menggunakan bunga ros bagi menyembuhkan luka dan radang pada kulit.

Rupanya air mawar telah digunakan oleh para doktor sejak zaman dahulu untuk merawat masalah saraf dan sebagai ubat hidu bagi pesakit yang menghidapi penyakit paru-paru. Manakala ekstrak dari kelopak mawar diberikan kepada pesakit yang mengalami masalah jantung dan buah pinggang.

Andai ku tahu banyak khasiatnya, tidak mungkin dilepaskan begitu saja. Masih terbau, harumnya mawar liar selepas hujan. Tarik nafas dalam-dalam, udara memenuhi ruang dada terasa segar…puas!. Fikiran terasa lapang dan tenang.

Itulah pengalaman yang semua orang pernah lalui apabila menghidu bunga ros liar yang halus-halus kelopaknya tetapi bila kembang harumnya semerbak sekampung. Tapi banyak lagi yang hendak diceritakan di sini perihal bunga itu.

Patutlah fikiran terasa tenang, damai dan syok saja bila dapat menghidu bunga itu. Rupanya minyak bunga ros,  menjadi asas pada komponen penawarnya. Ia merangsang dan mengharmonikan sistem pertahanan badan serta sistem saraf.  Ia juga meningkatkan aktiviti kelenjar endokrin, menghilangkan masalah sclerous pada organ dan memperbaiki sel.

Minyak bunga ros sangat baik untuk saluran penghadaman kerana ia boleh menjadi penawar yang paling berkesan kepada membran mukus. Ia juga boleh menentang bakteria dan mengatasi masalah proses penghadaman di dalam perut dan usus kecil.

Kini baru ku tahu bahawa kelopak bunga ros itu sebenarnya mengandungi vitamin C, karotena, kumpulan vitamin B dan K. Ia adalah penting untuk haemopoesis. Hampir semua mineral penting yang terkandung di dalam jadual berkala Mendeleyv’s boleh didapati di dalam kelopak bunga ros.

Ia juga mengandungi kalsium yang boleh mempengaruhi metabolisme dan proses asimilasi zat makanan. Juga mempunyai kalium yang sangat penting untuk mengekalkan aktiviti normal jantung. Kandungan tembaga juga mempunyai kepentingan tersendiri di dalam menggalakkan haemopoesis dan meningkatkan aktiviti kelenjar endokrin. Di dalam kelopak ros juga ada iodin yang bagus untuk kelenjar tiroid. Tengoklah banyak sungguh yang terkandung di dalam kelopak bunga itu. Jadi tidak salahlah kalau ia dipanggil penawar semula jadi sejagat.

Bunga Ros Seribu Penawar

Waktu untuk memetik bunga ros yang paling elok adalah pada awal pagi, ketika udara masih bersih dan lembap. Untuk lebih baik, selepas hujan atau ketika embun banyak. Selepas dipetik,  kelopaknya hendaklah terus dikeringkan atau digunakan sebagai rawatan tanpa membasuhnya terlebih dahulu bagi mengekalkan khasiatnya. Dari kelopak itulah akan terhasilnya ekstrak, rebusan, air mawar atau minyak ros.

Hasil kajian yang dilakukan oleh Dr. Boris Vasilyev, doktor sains perubatan dari Amerika Syarikat, bakteria akan mati dalam masa lima minit apabila tersentuh dengan kelopak ros segar. Kerana itulah menjadikan bunga ros adalah penawar yang paling sempurna ciptaan Tuhan untuk merawat penyakit kulit. Kelopaknya yang segar boleh digunakan untuk menyembuhkan luka dan melecur terbakar serta melegakan alahan kulit dan gatal.

Dr. Boris menyingkap banyak lagi rahsia bunga ros di dalam kajiannya. Dari kelopak yang segar hinggalah pada serbuk kering, semuanya ada kuasa penawar. Katanya, serbuk kelopak bunga ros yang dicampurkan dengan madu,  adalah penawar yang paling mujarab untuk mulut radang, stomatitis (radang pada membran mukus mulut) dan paradontose. Campuran itu hendaklah disapukan pada gusi yang mengalami keradangan. Pening kepala, mabuk dan lemah tenaga,  semuanya boleh dirawat dengan menghidu bunga ros segar ataupun minyak ros.

Itulah hebatnya wangian yang dibawa oleh bunga ros, bukan sekadar sedap dicium tetapi banyak rahsianya. Jika ada sesiapa yang menghadapi masalah sistem saraf yang lemah, mudah terganggu emosinya dan kemurungan, haruman bunga ros adalah pilihan yang paling tepat untuk melegakannya.

Sungguh mudah untuk memanfaatkannya, masukkan kelopak bunga ros ke dalam air panas dan biarkan wapnya memenuhi ruang rumah. Baunya bukan sekadar wangi dan menyegarkan seisi rumah tapi juga boleh menghilangkan sakit kepala, batuk, selesema dan masalah saraf.

Minyak bunga ros juga dikatakan boleh menguatkan otot kardium. Sebab itulah ia menjadi sebahagian daripada rawatan yang disyorkan oleh doktor di dalam ubat sedut atau gas sedut bagi rawatan stenocardia.