Bila  Air Kencing Jadi Penawar

Sains & Islam

Oleh: Nor Shamsinor Baharin

Sejak sekian lama rawatan ini sudah pun diamalkan.  Cuma sejauh mana kesahihan dan kemujarabannya, tiada siapa yang dapat  memperakuinya.

Pun begitu, Ketua Jabatan Implan Tisu di Pusat Penyelidikan Raja Fahd, merangkap  penyelia Kerusi Al-Zamil untuk Kanser, Dr Fatin Khoursheed mengakui, melalui kajian yang dilakukan sejak tahun 2004, terbukti ia berkesan.  Bahkan hasil daripada kajiannya itu, berpuluh-puluh kes  pelbagai penyakit kanser berjaya dipulihkan. Bahkan pesakit yang menjalani rawatan  telah menunjukkan  98 peratus penyembuhan.

Semua adalah hasil daripada minum air kencing unta. Sama ada diambil secara meminumnya, atau diberikan dalam bentuk kapsul, ubat atau  syampu. Namun hasil penemuan dan kajian  penyelidikan saintifik tersebut, gagal  mendapat pengiktirafan dari Badan Makanan dan Ubat-Ubatan Saudi sekalipun secara teori dan amalinya ia sudah menunjukkan kejayaan.

Dalam masa yang sama, Dr Fatin Khoursheed mengakui menerima panggilan telefon daripada Kedutaan Jepun yang berminat dengan  hasil kajiannya khusus untuk merawat  radiasi nuklear. Panggilan telefon tersebut katanya,  diterima tatkala Jepun  berhadapan dengan krisis  letupan di loji nuklear Fukushima 1.

Apa pun dakwaan yang dilakukan, penulis teringat sepotong hadis Rasulullah s.a.w  yang juga merujuk kaedah berubat dengan  air kencing unta.  Antaranya hadis yang menceritakan Nabi s.a.w  membolehkan suku ‘Ukl dan ‘Uraynah berubat dengan meminum air kencing unta (HR Muslim). (Lihat Imam Al-Wahidi, Asbabun Nuzul, hamisy [catatan tepi] kitab Tafsir wa Bayan Kalimat Al-Qur`an, karya Syaikh Hasanain M. Makhluf, hal 168).

Sementara hadis riwayat Bukhari  pula menyebut, “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah s.a.w, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudian cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w . Baginda bersabda kepada mereka, “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.” Mereka menjawab,”Baiklah.” Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu. Setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah s.a.w itu dan merampas unta-untanya.” – (Hadis riwayat Bukhari).

Apa pun senarionya,  persoalan utama yang hendak diketengahkan ialah sejauh mana Islam membenarkan umatnya berubat menggunakan bahan daripada najis?

Menjawab persoalan ini,  pensyarah  di Jabatan Fiqh dan Usul,  Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Rushdi  Ramli, menjelaskan, dalam Islam, konsep yang dianjurkan ialah supaya umatnya mendapatkan rawatan dari  segala penyakit.  Hal ini jelas dinyatakan oleh Rasulullah. Diriwayatkan oleh Abu Ad-Darda’ bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sementara Imam Bukhari pula dalam shahihnya menyebut, daripada Ibnu Mas‘ud katanya,  “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu.” (Dikeluarkan oleh Bukhari).

Satu hadis lain pula menyebut, “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan ubat bagi mu pada apa-apa yang diharamkankan Allah atas mu.” (HR Bukhari dan Baihaqi).

Jelas ketiga-tiga hadis Rasulullah secara terang dan nyata  menyuruh umatnya  berubat dan mencari penawar bagi setiap penyakit tetapi dengan syarat tidak menggunakan bahan dari sumber yang najis.  Larangan dan ketegasan Rasulullah ini juga dapat dilihat apabila melarang Tariq bin  Suaid  menggunakan arak sebagai penawar kepada penyakit.

Justeru dalam hal ini ujar Dr.  Rushdi,  Allah tidak jadikan sesuatu ubat itu  dalam benda-benda yang haram kecuali dalam beberapa keadaan. Dalam hal ini  para ulama  sepakat mengatakan harus berubat  dengan sesuatu yang haram tetapi dengan tiga syarat :

1)  Dalam keadan darurat.  Jika tidak menggunakannya boleh membawa kemudaratan yang  lebih besar. Ia mengguna pakai kaedah, “keadaan darurat menghalalkan sesuatu benda.” Dalam hal ini ia merujuk pada keadaan, tidak ada ubat lain yang boleh menggantikan bahan yang haram tersebut.

2) Bahan haram itu diperakui sebagai penawar. Dan perakuan itu disahkan oleh seorang  doktor Muslim yang  bersifat adil.

3)  Hendaklah penggunaan bahan haram itu dengan kadar yang membawa kesembuhan (sekadar yang diperlukan).

Jelad Dr. Rushdi, penggunaan ubat dari bahan yang haram pernah dibincangkan oleh Dr.  Wahbah yang merujuk penggunaan insulin dalam karyanya berkata, “Insulin yang mengandungi unsur babi diharuskan bagi para pesakit diabetis atas dasar darurat.”

“Asas Islam itu ialah mengelakkan bahan-bahan yang haram untuk dijadikan ubat. Kalau diperhatikan, al-Quran itu sendiri adalah ubat mahupun penawar. Justeru kita boleh menggunakannya jika kita  ragu-ragu dengan bahan-bahan ubat tersebut.  Pun begitu menjadi satu kesalahan tidak mengambilnya jika ia mendatangkan kemudaratan pada nyawa seseorang,” ujar Dr. Rushdi.

Tambahnya lagi, dalam mencari penawar  pada penyakit,  hanya satu yang tidak melibatkan  khilaf di kalangan para ulama iaitu  rawatan penyakit yang melibatkan unsur-unsur syirik  secara mutlak diharamkan. Tidak seperti mana penggunaan bahan-bahan najis sebagai ubat, masih ada  ruang  dan kelonggarannya.

Sementara itu ulama-ulama  Syafie  ketika membincangkan isu tersebut menjelaskan, harus berubat dengan bahan-bahan yang najis seperti daging ular (sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Mughni  al-Muhtaj) dan air kencing dengan tujuan menyegerakan penawar kepada penyakit. Namun dengan syarat rawatan itu diperakui oleh seorang doktor Muslim yang adil.  Begitu juga penggunaan najis itu hanya berdasarkan keperluan.

Manakala dalam kitab Qawaid al-Ahkam, Imam Al-Izzu bin Abdul Salam menjelaskan, harus berubat dan merawat penyakit dengan bahan najis apabila tidak menemui bahan suci untuk menggantikannya. Penggunaan bahan najis dibolehkan kerana maslahah kesihatan diri lebih diutamakan daripada maslahah menjauhkan diri dari bahan-bahan najis.

Apa pun menurut Dr. Rusdi, pandangan Ibnu Qayyim ada kewajarannya untuk diambil perhatian. Jelas Ibnu Qayyim, berubat dengan benda yang diharamkan oleh Allah tidak boleh kerana Allah tidak mengharamkan sesuatu benda itu melainkan adanya elemen-elemen yang tidak baik.

Ibnu Qaiyyim berhujah,  “sekalipun bahan haram itu dapat menghilangkan penyakit, pasti di sebalik hilangnya penyakit itu akan datang sesuatu keburukan pada hati atau nurani yang ada pada seseorang.”

“Hakikatnya hukum  merawat ini tidak wajib sekiranya seseorang itu sangsi untuk mengambil ubat  tersebut. Dan ia tidak dianggap berdosa sebab mengubat itu hukumnya sunat.

“Bagaimanapun berubat dengan al-Quran itu sesuatu yang muktabar kerana Rasulullah pernah berkata, “hendaklah kamu dapatkan penawar dari dua benda iaitu madu lebah dan al-Quran,”  ujar Dr.  Rushdi.

Tambahnya,  sesuatu  bahan yang dianggap   sebagai ubat , perlu ada pengesahan dalam bidang perubatan di samping berdasarkan bahan yang digunakan adalah bersifat ‘pengalaman yang panjang’ dalam masyarakat yang diperakui keberkesanannya. Misalnya, dikatakan lendir belut liar, sebagai penawar yang paling mujarab dalam merawat penyakit asma.

“Dakwaan  sahaja  dianggap  sebagai sesuatu  yang tiada  sandaran. Berbeza sebagaimana madu dan habbatus sauda yang diperakui oleh nas al-Quran dan hadis.