Benarkah Confucius adalah nabi?

Semasa

Bahagian 1

Oleh: Norimanah Seman

Ajaran Konfusianisme apa sebenarnya. Memang diakui banyak nilai baik yang dibawakan oleh kepercayaan itu. Ada pendapat yang mengatakan, nilai-nilai murni yang dibawa ajaran itu tidak bertentangan dengan Islam. Di dalam pendapat itu juga diutarakan bahawa Confucius  pada asalnya adalah seorang nabi yang diberikan petunjuk oleh Allah.

Dikatakan juga ajaran itu sedang dipantau oleh Jabatan Kemajuan  Islam Malaysia (JAKIM). Namun ia bukan bermakna ajaran itu salah, memang diakui, nilai moral ajaran itu baik tapi mengapa hendak mengambil amalan agama lain sebagai sebahagian amalan kehidupan seharian? Mungkin ajarannya baik dari segi moral tetapi di dalam soal iktikad kepercayaan kepada tuhan itu selain dari Allah.

Ajaran itu tidak salah dan jika hendak ambil ajaran itu pun tidak salah tapi tidak perlulah menguar-uarkan bahawa nilai moral itu datangnya dari Konfusianisme. Dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan. Apa motif nilai moral itu diajarkan kepada orang awam? Bolehkah orang Islam mengambil nilai murni agama lain sebagai amalan harian?

Untuk menjawab persoalan itu Ketua Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ibrahim Abu Bakar menjelaskan,  hal itu termasuk seperti menyamatarafkan Islam dengan agama lain.

Katanya sedangkan jika dirujuk di dalam al-Quran sudah dijelaskan bahawa, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam.”- Surah Ali’ Imran-19.

“Islam tidak sama dengan agama lain. Sesiapa  yang mencari agama selain agama Islam tidak akan diterima  oleh Allah. Dan di akhirat nanti dia akan jadi orang yang kerugian. Kalau kita anggap semua agama sama, itu tidak selari dengan ajaran al-Quran.  Islam adalah agama yang diterima Allah. Memeluk Islam adalah memeluk agama Allah. Tidak ada kenyataan di dalam al-Quran, semua itu agama sama,” jelasnya.

Kemudian disambung pula dengan surah yang sama ayat 85 yang maksudnya, “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

Pun begitu Dr. Ibrahim menerangkan, ada satu pendapat lain yang didukung oleh Abrahamic Religions atau tradition. Mereka ini datang dari golongan profesor Barat yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama.

“Semua agama di dunia ini berasal dari Nabi Ibrahim iaitu sebagai bapak segala agama. Mereka menyenaraikan agama yang termasuk di dalam  Abrahamic religion adalah Yahudi, Kristian dan Islam. Namun ada juga pandangan yang memasukan agama lain seperti Konfusianisme, Buddha, dan Shinto sebagai agama yang berasal dari Tuhan,” terangnya.

Jelasnya lagi, golongan Abrahamic Tradition mengatakan demikian kerana mengambil secara literal ayat al-Quran di dalam surah Yunus-47, yang bermaksud, “Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutus  kepadanya)”.  Ayat itu menjadi pegangan mereka walaupun al-Quran tersebut merujuk kepada ahli kitab. Ulama tafsir menjelaskan ahli kitab merujuk kepada Kristian dan Yahudi ketika itu.

“Kemudian berdasarkan ayat itu mereka membuat tafsiran bahawa utusan tuhan juga boleh ada di dalam kamu-kaum lain iaitu China dan India atau sebagainya. Tapi yang dominan dan  disebut di dalam al-Quran adalah di Timur Tengah saja, negara lain tidak disebut,”ujarnya.

Menurutnya, dari situlah mereka menyimpulkan bahawa surah Yunus itu menjadi asas untuk menjelaskan bahawa ajaran Konfusianisme dianggap sebagai agama yang asalnya datang dari Tuhan. Namun ajaran itu telah diselewengkan oleh pengikutnya. Dari ayat itu juga timbul pendapat yang mengatakan bahawa pembawa ajaran Konfusianisme iaitu Confucius adalah salah seorang nabi.

Penjelasnya seperti mana yang disebut bahawa setiap kaum diutus  seorang rasul maka Confucius adalah nabi bagi orang China. Namun hal itu tidak disebutan di dalam al-Quran. Pun begitu al-Quran juga tidak menyangkal bahawa bilangan nabi adalah terlalu ramai dan tidak termasuk di dalam bilangan yang wajib diketahui.

Dr. Ibrahim menerangkan lagi, penyokong Abrahamic Religions  memberi tafsiran bahawa agama ini ada dua tahap iaitu meta religion dan historical religion. Meta religion adalah tahap ajaran tuhan kepada nabi iaitu Allah mengajar manusia menyembah tuhan yang satu. Kemudian pada peringkat historical religion, ajaran yang diterima oleh pengikut nabi telah diselewengkan dan ia tidak asli sebagaimana ajaran Allah kepada nabi.

“Pada dasarnya semua agama adalah sama pada tahap meta religion dan agama berbeza pada tahap historical religion apabila telah diselewengkan. Pada peringkat historical religion lahirnya banyak fahaman, puak dan ajaran dari agama yang asal,” katanya.

Nilai akhlak dan iktikad

Bolehkah kita mengambil nilai agama lain untuk diajar kepada orang Islam. Jawapan dari Dr. Ibrahim amat mudah iaitu boleh, asalkan nilai itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Kemudian dia menjelaskan lebih lanjut lagi, misalnya nilai murni yang ada di dalam fahaman agama lain seperti menghormati orang tua. Di dalam Islam nilai itu pun ada malah telah disebut di dalam al-Quran bahawa anak-anak perlu berbuat baik terhadap ibu bapa. Samalah nilainya yang ada di dalam Konfusianisme dengan nilai yang terdapat di dalam Islam. Bahkan kedudukan ibu bapa di dalam Islam amat tingi dan perlu dihormati oleh anak-anak. Malah hadis nabi pun banyak yang menganjurkan agar anak-anak menghormati ibu bapa sebab tuhan lahirkan anak-anak adalah melalui ibu bapa.

Kemudian menyentuh pula hal iktikad. Memang diakui bahawa ajaran Konfusianisme banyak mengandungi nilai moral yang baik namun iktikad kepercayaan kepada tuhan bukan Allah yang satu.

Menurut Dr Ibrahim, iktikad itu bukan termasuk di dalam nilai akhlak tapi ia termasuk kepada nilai akidah. Nilai akidah dan akhlak adalah dua perkara yang berbeza. Jika kita mengajar tentang akhlak maka ia dibolehkan  dan diterima di dalam Islam. Sebagaimana contoh  yang telah disebutkan tadi iaitu menghormati ibu bapa, kedua-dua ajaran Konfusianisme dan Islam mempunyai nilai yang sama, itu tidak menjadi masalah.

“Cuma jangan mengajar orang Islam supaya  menyembah tuhan Konfusianisme. Kita kena bezakan antara akhlak dan akidah ajaran tersebut. Jika kita ajar mengenai akidah Konfusianisme sebagai pengetahuan, itu dibolehkan tetapi bila motifnya adalah untuk menganut itu sudah menimbulkan kesalahan.

“Dalam al-Quran tidak dihalang belajar apa saja yang kita mampu belajar, ajaran ataupun kepercayaan lain. Semua itu  tidak jadi masalah tapi apabila timbul perdebatan dari aspek akidah kita kena jawab,  “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah” surah al-Kaafirun, ayat 2 dan 3. Untuk menguatkan hujah boleh tambah lagi, “Bagi kamu agama kamu bagi ku agama ku” dari surah yang sama,”katanya.

Tegas Dr. Ibrahim, “Kita boleh belajar apa saja akidah agama lain asalkan ia bukan untuk tujuan menganutinya. Manakala dari segi akhlaknya pula tidak menjadi kesalahan untuk diikuti kerana semua agama mempunyai nilai moral yang baik.

“Dalam pada itu jangan lupa untuk melihat keutamaan ajaran akhlak itu disampaikan kepada siapa. Jika nilai akhlak itu diajarkan kepada orang Islam maka nilai akhlak Islam yang paling utama. Nilai akhlak agama lain hanya boleh digunakan untuk melihat persamaan dan mengukuhkan ajaran Islam.”