Benarkah Confucius adalah Nabi?

Semasa

Bahagian 2

Boleh Sebarkan?

Menyentuh mengenai hal itu pula, Dr. Ibrahim mengatakan, untuk menyebarkannya adalah satu isu yang sensitif. Jika mengikut undang-undang yang ada di Malaysia, orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Jika didapati ada cubaan untuk mendakwahkan orang Islam kepada ajaran agama mereka, maka orang itu bersalah dan boleh didakwa.

“Undang-undang ini telah digubal semasa zaman British lagi sebab penjajah ketika itu tidak mahu perbalahan berlaku antara orang Islam dan agama lain. Bagi yang melanggarnya boleh di dakwa di bawah akta penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam. Isu agama ini adalah isu yang sensitif untuk diperbincangkan.

“Kena lihat motif ajaran itu disampaikan. Adakah ia bertujuan untuk berdakwah? Jika itu tujuannya maka ia  dilarang. Namun Islam tidak melarang kita belajar tanpa mengira dari mana sumbernya. Malah Islam juga tidak suruh kita hanya belajar perkara yang  baik saja. Sebaliknya perkara yang buruk pun perlu dipelajari. Seperti mana yang terdapat di dalam al-Quran ada menceritakan mengenai hal-hal baik dan buruk. Perkara yang buruk adalah untuk dijadikan sempadan dan baik sebagai contoh,” jelasnya.

Islam cukup sempurna

Setelah begitu panjang memberikan penjelasan, Dr. Ibrahim menyentuh pula mengenai pendapat beberapa pihak yang mengatakan Islam sudah sempurna tidak perlu lagi ajaran agama lain.

Dr. Ibrahim ternyata tidak bersetuju dengan pendapat seperti itu. Dia juga menyarankan supaya orang Islam tidak terlalu menyempitkan mindanya di dalam mencari ilmu. Dengan mengatakan Islam sudah cukup sempurna hingga tidak perlu belajar dari ajaran dan bangsa lain adalah terlalu sempit pemikirannya.

“Islam telah sempurna adalah dari segi peribadatannya dan akidah. Tidak pernah ada ulama yang mengatakan bahawa Islam itu cukup sempurna  hingga tidak boleh terima sebarang dari ilmu lain.  Tidak menjadi kesalahan di dalam Islam jika kita mengambil nilai yang baik itu sebagai sebahagian amalan hidup,” ulasnya.

Baginya, pendapat mengatakan orang Islam tidak perlu belajar apa-apa dari bangsa lain adalah pendapat yang tidak betul. Suruhan supaya umat Islam bersedia bukan saja dihadkan kepada ilmu mengenai agama Islam saja. Pengertian ilmu di dalam Islam adalah amat luas. Jika ilmu yang berfaedah, ia boleh digunakan sepanjang masa. Manakala ilmu yang buruk itu adalah sebagai sempadan.

Malah katanya, Nabi sendiri di dalam peperangan, pun belajar dari orang Farsi. Semasa peperangan Khandak misalnya, strategi menggali parit di sekeliling kubu tentera Islam datangnya dari seorang sahabat berbangsa Parsi. Ilmu perang itu tidak ada pada orang Arab Quraisy  sebab itu mereka kalah kerana tidak bersedia dengan halangan parit yang digali sekeliling kubu.

Kemudian ada satu lagi peristiwa lain yang berlaku semasa zaman nabi. Nabi melalui satu kawasan kebun tamar, dan terdapat seorang sahabat sedang sibuk mengahwinkan bunga tamarnya melalui pendebungaan buatan. Melihat keadaan kesukaran sahabat melakukan kerja itu, maka nabi mengatakan supaya jangan buat lagi seperti itu. Sahabat ingatkan kata-kata nabi itu adalah wahyu maka kerja tersebut pun dihentikan. Tapi apabila sampai musimnya, pokok kurma tidak berbuah. Maka sahabat itu menyalahkan nabi. Akibat dari peristiwa itu maka keluarlah hadis yang bermaksud “kamu lebih tahu mengenai urusan dunia kamu.” Selepas itu tidak ada lagi larangan mengahwinkan debunga kurma.

Menurut Dr. Ibrahim, dari peristiwa itu jelas bahawa pengalaman manusia boleh dipelajari dan ia tidak menjadi kesalahan. Hadis itu memberi persepsi kepada umat Islam bahawa pengalaman itu adalah ilmu amat berguna. Jangan sempitkan minda kita untuk menuntut ilmu. Orang Islam yang kuat adalah umat yang tidak ada halangan untuk majukan diri melalui ilmu orang asing. Begitu juga halnya dengan ajaran Konfusianisme.  Dr. Ibrahim menjelaskan, yang perlu dipelajari dari ajaran itu adalah nilai akhlaknya.