Ayat al-Quran Hiasan Kek

Feqah

Sheikh Abdul Aziz Alu Sheik, Mufti Besar Arab Saudi mengeluarkan fatwa melarang ayat al-Quran dicetak di atas kek. Menurutnya perbuatan itu seperti mempersendakan dan menghina al-Quran.

Beliau memberikan komennya di dalam akhbar El-Iqtishadiyah pada 7 Disember tahun lalu. Antara lain katanya, mencetak atau menulis ayat al-Quran di atas sesuatu yang dikhususkan untuk dimakan misalnya kek, termasuk di dalam mempersendakan al-Quran dan ia haram.

Tambahnya lagi, menghormati dan menghargai al-Quran bukanlah dengan cara mencetak atau menulis ayat  tersebut di atas makanan lalu dimakan kemudiannya.  Menghormati al-Quran adalah dengan membacanya, menghafal, mendengarkan bacaannya dan melaksanakan ajaran yang disampaikan dari ayat al-Quran dan bukannya dengan dimakan ayat-ayat tersebut. Ayat al-Quran tidak boleh dijadikan hiasan pada kek atau makanan.

Di Arab Saudi, mencetak atau menghiasi kek dengan ayat-ayat al-Quran sudah menjadi satu trend yang semakin mendapat sambutan. Idea yang dimulakan oleh siapa tidak diketahui namun ia semakin mendapat permintaan dari ibu bapa dan sekolah tahfiz al-Quran.

Memanglah niat ibu bapa baik iaitu untuk memberikan semangat dan meraikan kejayaan anak-anak  kerana telah menghafaz al-Quran. Namun caranya mencetak dan menghiasi kek dengan ayat al-Quran adalah salah.

Tinjauan yang dibuat oleh akhbar El-Iqtishadiyah  di kedai-kedai kek dan roti di bandar Riyadh didapati memang banyak tempahan yang diterima untuk mencetak ayat al-Quran di atas kek.  Kebanyakan tempahan itu diterima dari sekolah tahfiz al-Quran dan ibu bapa untuk meraikan kejayaan setelah tamat pengajian tahfiz al-Quran. Disebabkan permintaan yang banyak, beberapa ayat al-Quran telah dimasukkan di dalam koleksi gambar cetakan di dalam katalog kedai kek.

Malah ia sudah jadi satu fenomena apabila ayat al-Quran digunakan menjadi  tarikan ibu bapa yang ingin menerapkan nilai-nilai Islam. Bagi mereka cetakkan ayat al-Quran pada kek  lebih islamik berbanding gambar kartun dan objek alam.

Kalau dulu permintaan kek berhias ayat al-Quran hanya datang dari sekolah tahfiz dan ibu bapa yang meraikan kejayaan anak tamat pengajian tahfiz.  Namun kini keadaannya semakin meruncing apabila kebanyakan orang Islam di sana menempah kek bercetak ayat al-Quran untuk semua majlis lain seperti pernikahan. Mereka meminta yang ada kena mengena dengan perkahwinan. Kemudian bagi majlis kesyukuran atau untuk meraikan kejayaan, ayat yang lain pula diminta sesuai dengan tujuannya. Keadaan itu memaksa ulama Arab Saudi mengeluarkan fatwa melarang perbuatan tersebut.

Adakah hanya menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan kek sudah dikatakan Islamik atau untuk menunjukkan sikap optimisme terhadap Islam? Adakah cara itu berkesan untuk memberikan semangat pada anak dan mengucapkan kesyukuran? Silap-silap tidak ada siapa pun yang ambil peduli, selepas kek itu dipotong dan tulisan itu dimakan bersama. Rasanya tidak salah kalau kek itu dihias dengan objek alam seperti bunga, buah atau pun gambar kartun, lebih selamat.