Apabila Senja Melabuhkan Tirainya… (Bahagian 5)

Yang Ghaib

Bahagian 5

Jangan tidur waktu senja, tak baik 

Salah satu pantang larang yang sudah semakin dilupakan adalah tidur waktu senja. Sekarang ini main langgar saja, senja ke, subuh ke, semuanya sama. Satu perkara yang paling dijaga oleh orang tua-tua dulu adalah tidur di waktu  senja. Jika anak-anak kecil hendak terlelap pun akan dikejutkan supaya jangan sampai tertidur waktu senja.

Dr. Mahyuddin ada penerangannya mengenai hal itu. Katanya disebabkan syaitan suka berada di antara dua keadaan, maka waktu tidur adalah antara waktu yang mudah untuk seseorang dimasuki syaitan. Ini kerana waktu tidur terletak antara hidup dan mati seseorang sebagaimana sabda Nabi s.a.w, “Tidur itu saudara mati.”

Oleh yang demikian, ketika manusia tidur dalam keadaan lalai, maka mudahlah syaitan menerjah masuk ke dalam mimpi dan perasaannya. Ada kalanya orang yang tidur akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan hasil serangan syaitan itu tadi.

Begitu juga dengan orang yang suka tidur di waktu senja menjelang maghrib. Mereka akan mengalami kecelaruan fikiran tatkala bangun dari  tidur. Memang tiada dalil yang melarang seseorang tidur selepas asar. Tetapi apabila diperhatikan kepada bahaya membiarkan jasad dalam keadaan separuh sedar pada saat syaitan berkeliaran, maka sesetengah ulama melarang seseorang daripada tidur selepas asar.

Ada antara ulama berpendapat, sekiranya dilakukan 40 hari berturut-turut boleh menyebabkan gila (dalam bahasa Arab, orang gila disebut ‘Majnun’ yang bermakna ‘orang yang dimasuki jin’). Besar kemungkinan, ini disebabkan oleh penguasaan syaitan terhadap otaknya.

Dalam kitab Mishkatul Masabih ada disebutkan, “Tidur sedikit di waktu tengah hari tidaklah dikeji. Rasulullah s.a.w ada juga melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajud di malam hari.” Ibn Qaiyim menambah,“Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembap dan tidak bercahaya), malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar).