Apabila Senja Melabuhkan Tirainya… (Bahagian 4)

Yang Ghaib

Bahagian 4

Tutup dengan menyebut nama Allah

Ya, memang benar, Dr. Mahyuddin mengiakan mengenai sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini mempunyai beberapa batasan. Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda,Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan  tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.” (HR Muslim).

Menurutnya, selain makanan dan minuman, aurat manusia juga menjadi perhatian syaitan. Sesetengahnya menjadikan kemaluan manusia sebagai kediaman. Dan, sesetengah yang lain pula duduk bertenggek pada aurat yang terdedah seperti rambut, punggung dan dada wanita. Walaupun makhluk ini boleh melihat aurat manusia, namun penglihatan tersebut menjadi terhalang sekiranya manusia membaca doa-doa tertentu yang diwaridkan dari Rasulullah s.a.w.  Sebagai contoh, doa masuk tandas sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Saidina Ali b. Abu Thalib bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tabir antara mata jin dan aurat-aurat Bani Adam jika salah seorang di antara kamu masuk bilik mandi hendaklah ia mengucapkan Bismillah”.

 Katanya, begitu juga dengan aurat yang ditutup rapi semata-mata kerana Allah (bukan kerana fesyen) menyebabkan syaitan dan jin tidak dapat masuk. Maka disebabkan itulah Rasulullah s.a.w. menyarankan umatnya agar berdoa dengan doa masuk tandas mahupun ketika hendak bersama dengan isteri.

Keluar senja kena tutup kepala

Bagaimana pula halnya apabila terpaksa keluar dari rumah pada waktu senja? Pesan orang tua-tua, jika terpaksa keluar juga pada waktu senja, tutuplah kepala. Mengenai hal ini pula, Dr. Mahyuddin menjelaskan, saranan itu ada logiknya kerana para ulama bersepakat bahawa otak manusia merupakan antara sasaran utama syaitan kerana ia adalah pusat kawalan segala aktiviti anggota tubuh.

Sebelum menjawab lebih lanjut, Dr. Mahyuddin menceritakan sedikit tentang amalan orang alim yang mendoakan anak-anak dengan mengucup atau meniupkan doa pada ubun-ubunnya. Amalan itu dilakukan dengan harapan ubun-ubun itu akan sentiasa mengilhamkan perkara-perkara baik untuk dikerjakan oleh anggota badan.

Sebagai mana yang telah dibincangkan sejak awal tadi,  waktu senja adalah saat paling sesuai untuk syaitan menghasut dan menggoda manusia. Maka mereka akan mencari ruang dan pintu yang boleh ditembusi pada tubuh manusia. Dan, saranan menutup kepala jika berjalan waktu senja adalah untuk menutup ubun-ubun supaya tidak terdedah kepada bisikan syaitan yang suka meracuni hati dan fikiran manusia.

Kajian sains terhadap struktur otak manusia menemukan kebenaran ini. Menurut Prof Keith L. More, di dalam otak manusia terdapat satu bahagian yang dikenali sebagai frontal lobe yang menjadi pusat segala perancangan manusia. Sama ada perancangan itu baik atau jahat, ia bermula dari situ.

Kepentingan ubun-ubun atau Frontal Lobe telah dibuktikan oleh Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee,  ia adalah pusat kawalan yang mengeluarkan segala arahan mengawal diri, membentuk tingkah laku dan peribadi seseorang, berbohong, berbuat salah, kejujuran dan membuat keputusan. Anggota badan hanya menjadi tentera yang menjalankan arahan saja.

Hal tersebut telah pun Allah jelaskan di dalam firmanya di dalam al Alaq ayat 15-16 yang bermaksud, Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi Sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), (iaitu) ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.”

Dalam surah Al Rahman ayat 41, Allah juga berfirman, “Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas ubun-ubun kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

Menurut Dr. Mahyuddin, ada satu qaul dalam mazhab Shafie, seseorang yang tidak menutup kepalanya dengan suatu tutupan dianggap sebagai orang fasiq dan tidak bersifat adil. Boleh jadi, itulah sebab orang-orang tua dahulu menyarankan agar kita menutup kepala supaya syaitan tidak dapat meracuni fikiran kita.

Bagi yang ada keperluan untuk keluar ketika senja maka beberapa langkah berhati-hati boleh diambil. Rasulullah telah meninggalkan beberapa amalan yang baik sebagai pendinding diri daripada syaitan. Antaranya:

Pertama : Berdoa mohon perlindungan daripada kejahatan jin dan syaitan.

Kedua :  Pastikan diri dalam keadaan suci dari hadas.

Ketiga : Hati dan fikiran kena selalu berzikir mengingati Allah.

Keempat :  Tidak keluar bersendirian kecuali ditemani seorang muhrim.

Kelima :  Menjauhi dari melalui kawasan-kawasan gelap atau sarang maksiat. Dan,  menutup aurat terutama bahagian kepala.

“Pada waktu malam, segala kejahatan mengambil peranan. Dalam surah al Falaq, Allah sendiri memberi peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon perlindungan dengan-Nya dari segala kejahatan: “Katakanlah (Wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.

“Kita sepatutnya mengisi waktu malam dengan amalan-amalan yang boleh mengundang rahmat dan keredaan Allah seperti bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan seumpamanya. Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur khurafat dan tercela atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka serangan sihir mudah berlaku kerana kita telah gagal membentengi diri dan keluarga dengan perlindungan Allah,” jelasnya.