Apabila Senja Melabuhkan Tirainya… (Bahagian 3)

Yang Ghaib

Bahagian 3

Laranglah anak-anak keluar rumah 

 Dr. Mahyuddin juga mengutip pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Bari. Di dalam kitab itu dikatakan antara hikmah Rasulullah s.a.w. melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja ialah kebimbangan terhadap gangguan syaitan. Pada saat itu, kotoran-kotoran dan najis-najis yang sangat disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri anak-anak ketika mereka leka bermain. Kanak-kanak juga tidak membentengi diri mereka dengan amalan-amalan zikir yang boleh mencegah gangguan syaitan terhadap mereka. Ketika syaitan-syaitan berkeliaran, biasanya mereka akan bergantungan pada apa sahaja yang boleh mereka jadikan gantungan. Kerana itu dibimbangkan terjadi hal-hal yang tidak diinginkan pada anak-anak itu.

Dari satu aspek lain, kanak-kanak terutamanya yang belum mumayyiz memiliki hati yang bersih daripada dosa dan tiada hijab. Keadaan itu memungkinkan kanak-kanak dapat melihat makhluk-makhluk halus atau merasai tindakan makhluk tersebut.

Nabi s.a.w bersabda, Setiap anak Adam ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).” Kerana itulah bayi yang baru lahir dapat merasai tusukan tersebut lalu menangis. Tidak hairan juga jika ada bayi-bayi yang menangis pada waktu senja atau tengah malam kerana diganggu oleh makhluk-makhluk ini. Untuk mengelakkan masalah ini dari terjadi, maka ibu bapa dan ahli keluarga seharusnya menahan anak-anak dari keluar dan mengunci pintu sebelum masuk waktu senja.

Tambahnya lagi, selain kanak-kanak, Islam juga melarang penganutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran pada waktu senja. Di kalangan jin dan syaitan, mereka juga mempunyai haiwan ternakan. Boleh jadi dibimbangkan haiwan ternakan manusia ini akan dirosakkan oleh jin yang menyerupai anjing atau oleh haiwan ternakan jin itu sendiri.

 Menutup bekas minuman dan makanan

Seterusnya Dr. Mahyuddin, menerangkan, waktu malam dan senja adalah waktu di mana syaitan dan jin giat beroperasi. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggoda atau menumpang makan.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w., “Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya, “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam. Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya, “Kalian telah mendapat tempat bermalam.”(HR Muslim).

Tegasnya, perintah Rasulullah s.a.w. agar menutup bekas air dan makanan ada asasnya. Penemuan sains dan perubatan moden menunjukkan, makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria. Ia boleh mengundang pelbagai penyakit dan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Dalam memperkatakan perihal kuman, virus dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha menjelaskan, “Dan ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata, Sesungguhnya jin itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat. Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali bahawa makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis daripada bangsa jin. Dan telah pun terbukti bahawa ia  merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.”

Kebolehan jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah telah pun diketahui oleh Rasulullah s.a.w melalui sabda Baginda, “Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.”

“Virus dan bakteria adalah unsur luar yang tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati di sel-sel serta organ-organ dalaman.  Ini adalah bersamaan dengan sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan. Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma.

“Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak. Ia boleh merebak antaranya melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.,“Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).

“Begitu juga saranan agar menutup bekas makanan dan minuman agar tidak dimasuki kuman. Serangga dan haiwan melata seperti lipas, tikus, nyamuk, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat yang disukai jin seperti longkang, tandas dan tong sampah merupakan kenderaan yang menjadi tunggangan jin berbentuk virus. Apabila serangga begini menyentuh makanan yang tidak ditutup maka mereka akan memindahkan virus tersebut kepada makanan.

“Nyamuk aedes misalnya yang keluar pada waktu senja membawa virus demam denggi iaitu saat syaitan keluar berkeliaran. Virus itu juga dipercayai adalah tunggangan syaitan untuk menyerang manusia.

“Dalam kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar hendak pergi ke Iraq. Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata, “Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau ke sana kerana di sana sembilan per sepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.” Ia jelas menunjukkan,  antara hikmah suruhan menutup bekas makanan bertujuan menghindari mudarat penyakit yang berpunca dari gangguan jin melalui makanan,” terangnya.