Apabila Senja Melabuhkan Tirainya… (Bahagian 2)

Yang Ghaib

Bahagian 2

Sesuram senja, apa terjadi seterusnya

Apabila dipandang dari sudut yang berbeza pula, senja mempunyai pelbagai rahsia lain. Sedikit sebanyak ia akan menjelaskan betapa pentingnya larangan Rasulullah itu dipatuhi. Rahsia tersembunyi waktu senja cuba diselongkar walaupun ilmu itu ibaratnya seketul garam di lautan tapi ia cukup bermanfaat, sebenarnya. Ilmu Allah yang kita ketahui ini hanya sedikit saja, ia cuba dikongsi bersama supaya hadis nabi itu dapat difikirkan.

Bagi Pengasas Akademik Aura Metafizik Kuala Lumpur, Dr. JamaluddinAbdul Jalal, senja adalah satu keadaan yang tidak stabil dari segi gelombang atau aura. Ia adalah perubahan waktu antara siang kepada malam dan proses pertukaran itu akan wujudkan satu ruang yang tidak stabil. Antara gelombang siang dan gelombang malam adalah berbeza dan  ia akan menyebabkan ketidakstabilan itu.

Pada waktu senja warna alam akan berubah menjadi merah atau jingga. Jika mengikut susunan aura warna pelangi, warna senja terletak pada susunan yang terakhir. Warna jingga itu melambangkan kepanasan. Manakala dari segi frekuensinya pula warna pada waktu senja berada di dalam frekuensi jin dan iblis (frekuensi infra-red). Ini bermakna jin dan iblis amat bertenaga kerana mereka berada di dalam gelombang yang sama dengan alam.

“Suasana senja yang berwarna merah itu juga menarik minat sejenis jin iaitu jin merah atau angin merah juga disebut angin ahmar untuk keluar mencari mangsa. Ditakuti, ketika lalunya angin merah itu maka akan terkena pada kita jika masih berkeliaran di luar pada waktu maghrib. Ia memang bertepatan dengan larangan di dalam hadis nabi iaitu kanak-kanak dilarang berkeliaran apabila senja kerana syaitan berkeliaran.

“Gelombang yang serupa seperti senja juga boleh wujud pada waktu lain seperti beberapa waktu yang dilarang solat iaitu ketika matahari naik dan pada waktu rembang (matahari tengah dia tas kepala). Waktu rembang juga mempunyai frekuensi yang sama seperti senja kerana ia adalah perubahan dari pagi ke tengah hari. Ketika matahari naik ia juga mempunyai gelombang yang tidak stabil iaitu perubahan malam ke pagi. Selain itu waktu tengah malam juga dikatakan gelombangnya tidak stabil kerana perubahan malam ke pagi. Itu adalah waktu tidak stabil kalau boleh saya katakan ia adalah waktu syaitan ‘bertukar syif’,” katanya yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam perubatan Islam.

Kenapa senja itu masa larangan?

Menurut Dr. Jamaluddin, satu perkara yang harus difahami,  manusia tidak bersendirian di dunia. Selain manusia, jin, syaitan, malaikat, haiwan dan tumbuhan juga penghuni alam ini. Sudah menjadi aturannya pada waktu siang semua haiwan mencari makan dan membuang najisnya. Apabila sampai waktu senja semua haiwan liar yang berterbangan mahu pun yang melata akan pulang semula ke sarang.

Kenyataan itu boleh dikaitkan dengan hadis Rasulullah s.a.w. , dari Abu Hurairah, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. dengan satu pertanyaan, “ Wahai Rasulullah, apakah faedahnya tulang dan tahi ternakan?” Maka nabi menjawab dan menceritakan, “Kedua-duanya merupakan makanan jin; sesungguhnya telah datang kepadaku sekumpulan jin Nasiibain (Iraaq) di mana mereka merupakan sebaik-baik kumpulan jin, mereka meminta padaku bekalan (makanan yang mengenyangkan); kerana itu aku pun meminta pada Allah Taala (makanan untuk mereka lalu dijawab) bahawa tiadalah mereka melalui (mendapati) sepotong tulang (yang masih berdaging) dan sebuku tahi binatang ternakan (daripada binatang yang berkaki empat) melainkan mereka menjadikannya makanan.”

Daripada hadis itu ia boleh disimpulkan bahawa sementara semua binatang pulang ke sarang atau ke kandang, jin akan berkeliaran untuk memungut najis haiwan untuk dijadikan makanan. Memang sudah menjadi sifat golongan jin termasuk syaitan dan iblis diaturkan keluar pada waktu malam untuk mencari makan dan menjalankan aktiviti. Sedangkan ketika itu giliran manusia dan haiwan untuk berehat dan tidur.

Jika kita keluar berkeliaran pada waktu itu dibimbangkan akan tersepak sewaktu mereka mencari makan atau mungkin juga terpijak. Maklumlah kita tidak mampu melihat mereka dan perbuatan kita tadi mungkin juga akan mengundang musibah.

Yang kedua, ketika azan maghrib gelombangnya berada pada tahap theta iaitu gelombang yang rendah, tenang dan zon makbul doa. Ketika senja gelombangnya berada di dalam keadaan tidak stabil maka azan akan menstabilkannya supaya dunia menjadi tempat yang selesa untuk dihuni. Cuba bayangkan jika dunia ini tanpa gelombang azan pada waktu maghrib maka gelombang dunia ini akan menjadi semakin tinggi dan macam-macam akan berlaku.

Ketika laungan azan itu juga, syaitan akan lari bertempiaran sebagai mana yang disebut di dalam hadis. Dari Jabir r.a. katanya , “Aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda, “sesungguhnya apabila syaitan mendengar azan dia lari hingga sampai ke Rauha (kira-kira 36 batu dari Madinah).”

Jelas Dr. Jamaluddin, yang paling ditakuti ketika syaitan lari lintang pukang semasa mendengar azan apabila mereka berlanggar dengan manusia yang masih berkeliaran pada waktu senja. Pelanggaran itu juga boleh menyebabkan kerasukan.

Katanya, ulama berpendapat ada empat jenis kerasukan jin kepada manusia. Pertama kerasukan dan sentuhan jin kepada seluruh jasad.  Kedua, sentuhan atau kerasukan juga boleh berlaku kepada sebahagian saja daripada anggota tubuh badan seperti tangan, kaki atau lidah. Ketiga, sentuhan atau kerasukan juga berlaku secara berpanjangan yakni berada di dalam tubuh pada tempoh yang berterusan. Dan, yang terakhir sentuhan dan rasukan jin juga boleh berlaku cuma sekejap saja.

Ke mana syaitan lari? Syaitan lari masuk ke tandas-tandas, bukit-bukit dan lembah-lembah untuk menyorok apabila mendengar azan. Sebab itu tidak digalakkan masuk ke tandas ketika azan maghrib berkumandang kerana syaitan akan berkumpul di tandas-tandas.

Tegasnya, jangan ambil mudah tentang larangan waktu senja. Apabila nabi melarang bermakna ia datang dari wahyu Allah. Ia harus dipatuhi kerana sesuatu larangan itu pasti ada hikmahnya.