Apabila senja melabuhkan tirainya… (Bahagian 1)

Yang Ghaib

Bahagian 1

Senja kala…ada apa sebenarnya dengan senja? Teringat sewaktu kecil ketika di kampung, Atuk selalu bising apabila hari sudah merangkak senja. Semua cucunya diarahkan naik ke rumah dan bersiap-siap membersihkan diri. Kemudian duduk diam-diam di dalam rumah, semua pintu dan tingkap diarahkan tutup. Seolah-olah seperti ada geroda yang hendak menyerang. Tidak ada siapa pun yang berani untuk membuka mulut dan bermain-main lagi.

Begitu juga ayam sudah dihalau ke reban dan lembu sudah bertambat di kandang. Tidak ada siapa pun yang berkeliaran di sekeliling rumah, semuanya sunyi sepi. Tetamu pun tidak akan bertandang waktu senja. Jika terpaksa menempuh waktu senja tidak akan singgah terus ke rumah yang dituju sebaliknya berhenti di masjid selesaikan solat barulah berkunjung ke rumah yang dituju.

“Maghrib, syaitan banyak berkeliaran. Jadi, duduk diam-diam dan jangan berkeliaran di luar rumah nanti kena tegur,” jelas Atuk.

Apa yang dididik semasa di kampung masih kuat di dalam ingatan. Cuma apabila tiba di Kuala Lumpur suasananya berbeza, ketika maghrib menjelang, masa itulah orang keluar dari rumah. Semua urusan hendak diselesaikan waktu senja, membeli belah, pergi pasar malam dan ada juga masih bermain bola di padang. Azan ke tidak, buat selamba saja, macam tidak  ada apa-apa yang berlaku. Anak-anak masih lagi berkeliaran di taman permainan dan dibiarkan saja tanpa digesa untuk pulang ke rumah.

Main langgar saja sedangkan di dalam hadis sudah jelas disebut tentang larangan waktu senja. Dua kali disebutkan tentang larangan keluar waktu senja di dalam sahih Muslim.

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah kerana ketika itu syaitan berkeliaran. Satu jam sesudah itu bila telah malam biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang terkunci (dengan menyebut nama Allah). Tutup tempayan mu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bejana mu dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya dan padamkan lampu (ketika hendak tidur).”(HR Muslim).

Sebuah lagi hadis dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya,“Jangan biarkan ternakan dan anak-anak mu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja. Kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja.” (HR Muslim).

Inilah peringatan yang semakin dilupakan dan diambil ringan kerana menyangka ia sekadar larangan orang tua-tua. Mari kita cari penjelasannya kenapa nabi melarangnya?

Apa rahsia senja sebenarnya?

 Menurut Pengarah Sekolah Pengajian Islam, Kolej Antarabangsa IKIP Kuantan, Dr. Mahyuddin Ismail, senja adalah waktu peralihan antara siang dan malam. Allah telah menetapkan aturan yang khusus buat makhluk-Nya pada kedua-dua waktu tersebut. Waktu siang adalah waktu untuk manusia bekerja dan mencari rezeki manakala waktu malamnya adalah waktu untuk beristirahat dan tidur.

Firman Allah Taala dalam surah An Naba’ ayat 10-11, ”Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi), dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) sebagai masa untuk mencari rezeki.”

Jelasnya lagi, jika siang adalah waktu untuk manusia keluar mencari rezeki, maka waktu malam pula adalah waktu jin dan syaitan berkeliaran untuk menjalankan kegiatan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika pusat-pusat maksiat seperti kelab malam, rumah pelacuran, disko,  fun fair, pusat judi, konsert hiburan dan karaoke aktif pada sebelah malam. Begitu juga dengan aktiviti merempit dan lumba kereta, lebih hangat pada waktu malam.

Katanya, Rasulullah pernah mengingatkan umatnya tentang godaan dan gangguan yang datang pada malam hari. Sesungguhnya di dalam sebuah hadis nabi telah bersabda, “Sekiranya manusia mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya mereka tidak akan berani berjalan sendirian di malam hari.”

“Antara tabiat syaitan ialah mereka suka berada di antara dua situasi atau dua keadaan. Contohnya antara siang dan malam, antara teduh dan panas terik, antara sejuk dan dingin, antara hujan dan panas.

“Malah ada juga larangan dari nabi Muhammad s.a.w. tentang duduk di antara kawasan teduh dan kawasan yang disinari cahaya matahari. Begitu juga larangan orang-orang tua agar jangan bermain hujan panas kerana dipercayai mudah terkena penyakit demam panas. Syaitan juga suka berada di antara seorang lelaki dan seorang wanita (bukan mahram) yang duduk berdua-duaan.

“Jika dianalisis lebih mendalam, lautan yang terletak pertembungan antara dua arus menjadi lokasi pilihan syaitan dan iblis untuk membina istananya. Kepercayaan bahawa Segitiga Bermuda dan Segitiga Formosa (iaitu kawasan yang selalu berlaku kehilangan kapal laut dan pesawat secara misteri) sebagai kawasan yang dikuasai oleh kerajaan jin mungkin ada benarnya. Kajian sains menunjukkan kedua-dua segi tiga tersebut merupakan kawasan pertemuan antara arus air hangat dan air yang dingin,” jelas Dr. Mahuyddin yang juga penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung.

Di dalam Sahih Muslim, Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.”

Begitu juga, Ibnu Qayyim Al Jauzi berkata, senja ialah waktu yang paling disukai syaitan. Pergerakan syaitan pada malam hari lebih hebat berbanding pada siang hari. Sebab kegelapan malam memberikan kekuatan kepada mereka. Selain kegelapan, warna hitam turut memberikan kekuatan kepadanya. Pemuja-pemuja syaitan kebiasaannya memakai panji dan pakaian berwarna hitam. Rasulullah s.a.w. juga menyuruh agar membunuh anjing berwarna hitam yang mempunyai titik putih di atas mata kerana ia adalah syaitan.

Sambungnya lagi, jika waktu pagi adalah waktu manusia berpusu-pusu keluar untuk bekerja, maka waktu senja adalah waktu untuk syaitan dan jin keluar berpusu-pusu untuk menjalankan operasi mereka. Bagi menghindari dari diganggu oleh makhluk yang berkeliaran ini, maka Islam menetapkan beberapa ketentuan yang boleh dijadikan sebagai panduan keselamatan seperti yang disebut di dalam hadis di atas.