Apa yang haramnya Kutu dan Kutu Emas?

Feqah

 

 

Oleh: Mohd. Azrin Wahid

Soalan: Bagaimana kedudukan permainan kutu pada hukum?

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Salmy Edawati Yaacob, MENJAWAB: Secara asasnya kutu tiada masalah pun dalam syariat Islam.  Ia lebih dilihat dalam konteks ta’awun iaitu bantu-membantu yang dihukumkan harus (kebiasaannya bagi yang tidak cukup wang untuk mendapatkan sesuatu, mereka akan pakat kumpul sesama mereka dan membeli barangan tersebut).

Walau bagaimanapun apabila diteliti dengan jelas, ia bukan hanya berkonsepkan ta’awun semata, tetapi juga membawa kepada Qardun iaitu pinjaman atau berhutang. Dan, menjadi money game untuk mendapatkan keuntungan. Saya risau, permainan kutu yang harus itu, dimanipulasikan bagi mendapatkan keuntungan kepada ibu kutu, sehingga terbit gharar dalam permainan.

Asalnya ingin saling membantu, bertukar menjadi sumber keuntungan bagi sesetengah pihak. Kemudian terdedah pula kepada perkara-perkara yang tidak patuh syariah.

Langkah utama dan penting dalam menentukan hala tuju permainan sama ada hukumnya halal atau haram adalah pada akadnya. Dari sudut akad, yang penting sekali perlu jelas siapa transaksi yang terlibat. Memang ia secara dasarnya kelihatan ta’awun (membantu) tetapi dalam masa yang sama ia juga adalah qardun (pinjam).

Ahli yang terlibat dalam permainan ini mahu atau tidak, perlu membayar jumlah yang ditetapkan setiap bulan. Ahli pada giliran pertama seolah-olah ia meminjam dari ahli-ahli yang lain. Di situ, akadnya jelas adalah hutang.

Apabila akad hutang, ia perlu disebutkan dengan jelas akadnya supaya permainan tersebut sah di sisi Islam. Dan kerana itu jugalah tidak mustahil andai ada yang menghukumkan permainan ini haram kerana tidak dijelaskan akadnya sehingga mewujudkan gharar (keraguan).

Sebahagian besar jumhur ulama mengatakan mesti ada lafaz ijab. Jadi akad itu mesti ada jika tiada akad, tidak sahlah permainan itu dan dihukumkan haram.

Tanggungjawab ibu kutu (yang bertindak sebagai ketua) perlu menjelaskan segala terma dan peraturan. Berapa jumlahnya, siapa gilirannya, berapa tarikh wang diterima dan segalanya yang berkaitan. Lebih elok andai semua syarat dan keterangan didokumentasikan.

Bagi menjaga keharusannya, berakadlah terlebih dahulu sebelum memulakan permainan. Ini penting bagi memastikan tidak ada unsur-unsur gharar.

Misalnya, “saya sudah mendapat giliran pertama dengan jumlah RM500 dan saya berhutang RM100 dengan setiap ahli. Saya akan membayarnya setiap bulan pada bulan akan datang.” Ahli lain pula menerima dengan baik dan mengetahui duit tersebut dipinjamkan kepada siapa. Lafaz akad boleh dilakukan secara semua ahli berkumpul serentak dan sesama mereka.

Atau ibu kutu bertemu dengan ahli dalam waktu yang berbeza. Ibu kutu menjadi wakil bagi ahli yang lain (unsur wakalah) dengan lafaz akadnya ditambah, “Saya menjadi wakil bagi ahli yang lain mengutip dan mengumpul wang.”

Soalan: Bagaimana pula dengan kutu emas?

Dr. Salmy: Ini merupakan dua keadaan yang berbeza sebenarnya. Jika kita ingin bermain kutu emas, perkara utama yang perlu ditentukan sama ada ingin dikumpulkan melalui nilai emas atau nilai ringgit? Bagaimanapun situasi permainan ini perlu dilihat dari sudut yang sedikit berbeza dengan permainan kutu yang lain kerana melibatkan emas iaitu barangan ribawi.

Syarat utama urus niaga dengan penjual emas mestilah dalam bentuk tunai tanpa ada ansuran, atau penangguhan bayaran dan penerimaan. Itu harus dan tidak timbul masalah.

Tapi akan timbul masalah apabila ditetapkan syarat misalnya hasil kutu RM500 tersebut dengan berat tertentu emas. Ini akan menimbulkan permasalahan kerana nilai emas sentiasa berubah. Boleh jadi bulan ini naik, dan boleh jadi sebaliknya.

Apabila ada penetapan nilai akan berlaku penganiayaan atau penindasan sesama ahli. Beruntung bagi ahli yang ketika membeli emas, nilai emasnya susut tetapi rugi pula bagi ahli yang membeli emas ketika nilai emasnya tinggi.

Jika tidak ditetapkan RM500 dengan nilai emas itu tidak menjadi masalah. Contohnya giliran pertama membeli emas 10 gram dengan harga RM500. Manakala giliran kedua pula membeli emas 10 gram dengan harga RM520. Dia menambah RM20 lagi disebabkan nilai emas naik. Jadi RM20 yang dibayar hanya antara dia dengan penjual. Walau nilainya berbeza itu tidak mengapa kerana tidak ditetapkan dari awal semua ahli akan dapat emas seberat 10 gram dengan harga RM500.

Akan tetapi jika ditetapkan sekalipun dengan akad semua ahli setiap bulan mendapat 10 gram emas dengan nilai RM500, itu tidak boleh kerana nilai emas yang sentiasa berubah.

Soalan: Adakah boleh ditukar nilai kutu setelah akad hutang? Misalnya akad hutang dengan nilai wang kertas tetapi kutu dibayar dengan emas.

Dr. Salmy: Jika ketika akad hutang tadi dengan akad duit kertas, tetapi tiba-tiba ketika mendapatkan hasil yang dikumpulkan dengan emas itu pun tidak boleh. Ia perlu dalam nilai wang kertas juga. Ini bagi mengelakkan daripada pihak yang sengaja ingin mengambil keuntungan dari harga emas. Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah, permainan kutu yang dimainkan ini sama ada dengan akad nilai emas atau nilai ringgit.

Berbeza pula jika mereka memang berakad dari awal dengan emas seperti satu dinar emas atau satu gram emas setiap bulan yang mana setiap bulan ahli akan dapat lima dinar atau lima gram emas. Situasi ini dibolehkan sekalipun nilai emas ada pasang surut setiap bulan.

Ataupun lima gram emas yang diperoleh ditukarkan kepada nilai ringgit ia masih lagi sah hukumnya. Itu kerana kita berakad dengan emas dan jumlah yang didapati setiap orang juga adalah dengan emas. Maka itu telah saya tegaskan dari awal, akad itu memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju permainan kutu.

Soalan: Bagaimana jika ibu kutu yang bertanggungjawab membeli emas dan kemudian baru diserahkan kepada ahli?

Dr. Salmy: Situasi ini telah mewujudkan sistem wakalah (Ibu kutu menjadi wakil bagi ahli yang lain). Jadi kita perlu pastikan dari awal lagi ibu kutu bertanggungjawab menjadi wakil untuk membeli emas dengan harga RM500. Orang yang diberi amanah ini menjadi wakil dan bukan peniaga. Dia yang perlu membeli dengan benda yang sama sebagaimana yang telah dimaklumkan dan dipersetujui semua ahli.

Jika akadnya RM500 maka RM500 lah emas yang dia perlu beli. Andai kata ibu kutu mendapat diskaun seperti RM480. Baki RM20 bukan menjadi hak ibu kutu sebaliknya ia perlu dikembalikan kepada yang empunya giliran.

Soalan: Bolehkah Ibu Kutu kutip upah?

Dr. Salmy: Upah atau ujrah ke atas satu-satu tugasan atau perkhidmatan adalah diharuskan dalam Islam. Begitu juga dengan ibu kutu sekiranya terdapat tugas dan tanggungjawab sebagai ibu kutu yang bersesuaian dan mendapat persetujuan ahli.

Tapi lebih cantik jika upah yang dia dapat itu diasingkan daripada duit kutu yang dikutip. Contohnya setiap ahli membayar RM100 sebulan untuk duit kutu yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima bulan. Manakala, RM5 pula dikutip dari setiap ahli untuk upah ibu kutu sebagai perkhidmatan pengurusan sepanjang sesi pelaksanaan kutu tersebut. Perlu ditekankan di sini bahawa tugasan tersebut perlu dinyatakan dan perlu bersesuaian dengan jumlah ujrah yang akan diberikan.

Dalam masa yang sama, walaupun mungkin di kalangan ahli mengguna pakai konsep redha-meredhai nilai duit walau ada yang kurang atau lebih ketika permainan,  namun konsep ini tidak boleh sama sekali digunakan dalam semua tempat dan keadaan terutama yang melibatkan urusan qardun. Andai konsep redha diaplikasikan sudah pasti riba dan rasuah pun mereka akan meredhainya jua.

Tidak dinafikan juga, permainan kutu emas yang dimainkan dahulu dengan sekarang turut ada bezanya. Jika dahulu, ibu kutu adalah yang empunya emas atau penjual emas. Ia seperti ibu kutu menjual emas secara ansuran. Sedangkan itu tidak langsung dibenarkan dalam Islam bersandarkan dari kata Sayidina Umar r.a., “Jangan jual emas dengan perak sedangkan salah satunya tiada di hadapan kamu dan satu lagi disegerakan. Jika dia minta tangguh hingga ia masuk ke rumahnya, maka jangan kamu beri penangguhan padanya kerana aku takuti riba terkena padamu.”

Contoh, ibu kutu menawarkan satu set barang kemas yang mana sesiapa yang inginkan barang itu perlu main kutu sebanyak RM100 selama lima bulan. Semua ahli yang main akan memperoleh barang kemas tersebut. Nilai barang kemas berasaskan pula pada bayaran setiap bulan. Dan, barang tersebut boleh diambil dahulu. Itu yang menjadi konsep ansuran bayaran. Sedangkan dalam Islam tiada penangguhan bayaran atau penerimaan bagi barangan emas.

Sebenarnya dalam permainan kutu, orang yang mempunyai giliran pertama yang beruntung sedangkan giliran terakhir dia seolah-olahnya menabung. Pun begitu, tabungan yang ia lakukan tidak langsung mempunyai nilai produktiviti.

Sekiranya ia menabung di institusi kewangan seperti bank, sudah tentu dia mampu memperoleh untung hasil dari dividen dan sebagainya. Sebaliknya jika ia hanya main kutu, dapatannya hanya sekadar itu sahaja. Itu pro dan kontranya permainan ini.

Walau bagaimanapun bagi permainan kutu ini, dicadangkan agar adanya garis panduan supaya permainan mereka halal dari sudut syariah Islam.

Saya mengharapkan masyarakat akan lebih memahami permainan ini sebelum ia dilaksanakan. Jangan memandang mudah sekalipun kita lihat itu sepertinya tiada isu syariah. Sebolehnya pendekatan dan syariat Islam tidak mahu memberi mudarat yang lebih teruk kepada masyarakat kita di samping menjaga maslahah umat.