Aduh! Sakitnya! 

Sains & Islam

Oleh : Mohd Mubaraq Akbal

Bagaimanakah rasanya kaki tertusuk duri pohon semalu? Bagaimanakah rasanya, tangan kita terkena air panas? Sejuk sangat ke suhu di Antartika? Selembut mana kain sutera?

Sakitlah! Panasnya! Sejuknya! Wah, lembutnya. Demikian reaksi kita apabila melalui peristiwa di atas. Semua reaksi in berlaku disebabkan tubuh kita dapat merasakan setiap apa yang kita sentuh. Kulit kita melalui deria rasa yang dikurniakan  oleh Allah s.w.t akan menghantar rasa yang berlaku di tubuh kita ke otak. Dan sekiranya  kita berasa sakit, panas, sejuk dan sebagainya, maka otak akan menghantar arahan secara automatik dan pantas supaya mengalihkan tangan, kaki, atau tubuh kita.

Sebenarnya, adakah anda semua tahu, mengapa Allah menciptakan kulit? Dan lebih utama lagi, dalam kulit kita,  terdapat reseptor yang menjaga diri kita dari bahaya panas, sejuk, tajam dan sebagainya.

Allah s.w.t berfirman dalam Al Quran yang bermaksud,  “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar pada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka di dalam api neraka. Tiap- tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan kulit mereka dengan yang baru supaya mereka dapat merasa azab sengsara. Dan ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.”

Mengapa dalam ayat ini Allah menyatakan kulit?

Kulit merupakan organ terbesar yang Allah s.w.t ciptakan pada tubuh kita. Ia meliputi 16 peratus dari berat tubuh. Kulit bertindak sebagai rintangan di antara persekitaran luar dan dalam badan iaitu sebagai pemisah. Kulit berperanan melindungi otot dan organ manusia. Secara anatominya, kulit kita mempunyai tiga bahagian utama iaitu:

  • Epidermis        –  lapisan yang paling atas
  • Dermis            –  lapisan tisu di bawah epidermis
  • Subkutan         –  lapisan kulit paling bawah dan mengandungi banyak sel lemak

Di dalam lapisan dermis, diciptakan pula reseptor. Reseptor inilah yang berperanan untuk menerima segala jenis rasa yang dialami oleh anggota tubuh kita. Terdapat beberapa reseptor yang Allah ciptakan pada kulit kita. Antaranya ialah:

  • Mechanoreceptor  – reseptor yang menerima rangsangan tekanan, sentuhan dan getaran
  • Thermoreceptor   – reseptor yang menerima rangsangan suhu ( sejuk / panas )
  • Nociceptor – reseptor yang menerima rangsangan sakit

Walaupun terdapat banyak reseptor di kulit kita, namun, reseptor sakit paling menarik untuk dibincangkan. Hal ini kerana, setiap azab seksaan Allah pasti akan mengundang rasa sakit. Jika ditinjau dari sudut neurologi, keupayaan reseptor sakit lebih tinggi berbanding reseptor-reseptor lain. Jadi, ia dapat mengesan stimulus yang melampau. Sebagai contoh, jika terdapat rasa yang panas, thermoceptor akan mengesannya. Namun, jika haba terlalu tinggi, (melampau) maka reseptor sakit pula yang akan terangsang.

 Kulit bahagian tubuh yang diseksa? 

Anatomi kulit telah membuktikan bahawa orang-orang yang kulitnya terbakar tidak merasakan sakit kerana hujung sarafnya rosak. Hal ini berbeza dengan orang yang terbakar kulitnya peringkat kedua, kerana ia akan mengalami rasa sakit yang amat kerana hujung sarafnya tidak rosak, tetapi agak terbuka ( terdedah ).

Selain dari itu, anatomi telah membuktikan, usus kecil juga tidak mempunyai reseptor.   Namun, reseptor dapat ditemui antara peritoneum (lapisan membran yang melapik rongga abdomen) dan lapisan luar usus.

Allah s.w.t menjelaskan dalam al Quran, kulit adalah bahagian tubuh yang akan menerima azab seksaan. Hal ini kerana terdapat hubungan yang sangat rapat antara kulit dan rasa sakit. Allah juga telah mengingatkan, semasa menerima seksaan di neraka, kulit kita akan diganti dengan yang baru setiap kali kulit yang  terbakar akibat seksaan  hancur.  Melalui cara ini, manusia yang ingkar akan sentiasa merasakan pedihnya seksanya azab Allah. Naudzubillah!

Rasa sakit didefinisikan sebagai suatu deria dan pengalaman emosi yang tidak disenangi, yang berasal dari stimulus yang dapat menyebabkan kecederaan atau yang berpotensi menyebabkan kecederaan pada tubuh. Rasa sakit merupakan amaran kepada kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh kita.

Kadang-kadang, dalam menghadapi kesakitan, kita mengeluh seolah-olah tidak reda dengan ketentuan Tuhan. Dan yang lebih menyedihkan, ada yang  memaki  Tuhan di atas sakit yang menimpa.

Nikmat rasa sakit

Pernah kah kita terfikir bahawa di saat kita sedang merasai kesakitan, sebenarnya kita juga sedang mengecap  nikmat daripada Allah s.w.t?  Nikmat yang dimaksudkan di sini ialah nikmat berupa keupayaan tubuh  untuk mengesan rasa sakit. Cuba   bayangkan bagaimana keadaannya jika Allah s.w.t  mematikan semua nociceptor pada tubuh kita. Mungkin ada orang yang berpendapat, “Seronok la kalau macam tu, tak sakit masa bersalin nanti”.

Tapi tahu kah anda, tanpa reseptor sakit, kita tidak akan sedar yang tubuh kita sedang mengalami kecederaan. Sebagai contoh, seseorang yang mengalami appendicitis (apendix) tidak akan tahu bahawa radang sedang berlaku di apendiks nya. Sedangkan situasi itu boleh menyebabkan apendiks nya pecah dan menyebabkan keadaan yang lebih parah.

Tanpa rasa sakit, orang yang mengalami kemalangan tidak akan sedar bahawa tulang rusuknya patah (close fracture) dan lebih teruk lagi, jika tulang yang patah itu menikam paru-paru atau jantungnya. Bayangkan!

Penderita Coronary Heart Disease mungkin tidak dapat didiagnosis penyakitnya tanpa angina pectoris (sakit dada). Akhirnya, jantungnya mengalami ischemia (tak cukup oksigen) kerana penyumbatan pada artery coronary (saluran darah yang membawa darah ke otot jantung). Akhirnya dia mati akibat kegagalan jantung (heart failure), tanpa sempat didiagnosis dan diberikan bantuan.

Maka benarlah, menderita kesakitan juga merupakan salah satu nikmat dari  nikmat-nikmat Allah s.w.t yang tidak terhitung banyaknya. Dan perkara ini membuktikan kebenaran firman Allah s.w.t di dalam al-Quran, yang bermaksud, “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan Nya kepada kamu), nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya.” (Surah an-Nahl : 18)

Sepatutnya dan seharusnyalah kita bersyukur kepada Allah s.w.t di atas nikmat yang dikurniakan kepada kita. Allah berfirman di dalam surah Ibrahim, ayat ke-7 yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu berfirman, Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah  nikmat Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim : ayat 7)

Seksaan Neraka

Jika kita merujuk kembali terjemahan ayat ke 56 Surah an-Nisa, sedar kah kita betapa dahsyatnya seksaan yang Allah sediakan bagi orang yang kufur? Kulit kita yang terbakar disiat oleh malaikat Zabaniyah lalu Allah s.w.t menggantikannya dengan kulit yang baru, lalu dibakar lagi, dan disiat lagi. Begitulah seterusnya tanpa henti. Tujuan rasa sakit yang Allah ciptakan bukannya lagi berfungsi sebagai amaran bahaya tetapi kini berubah menjadi seksaan.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Seksa terkecil bagi ahli neraka di hari kiamat ialah selipar api neraka, yang apabila dipakai, otak akan mendidih disebabkan panasnya.” Abu Hurairah ra. Berkata, “Jika ada seratus ribu orang lebih di dalam satu masjid, lalu seorang ahli neraka menghembuskan nafasnya di situ, maka matilah semua orang di dalam masjid.” Ketahuilah wahai diri ku dan saudara ku, sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan neraka dan kedahsyatan untuk penduduknya.

Allah s.w.t berfirman, “Takutilah mereka dengan hari penyesalan (kiamat), ketika dihukum tentang perkara yang telah dilakukan sedangkan mereka dalam kelalaian dan mereka tiada beriman”. (Surah Maryam;39)

Sungguh, ini semua telah ditentukan dan akan menjadi kenyataan pada hari kiamat. Yang menghairankan, kita masih tertawa dan terpaut oleh kehinaan dunia. Kita tidak tahu bagaimana keputusan Allah untuk kita. (Petikan dari Kitab Mukasyafah al-Qulub oleh Imam al-Ghazali)

Jika Allah telah memudahkan engkau ke jalan yang baik, bergembiralah, barangkali engkau jauh dari neraka. Jika kau telah berniat ingin baik, tentulah akan dimudahkan buat menuju ke sana. Jika engkau berniat buruk, akan dimudahkan pula jalan ke sana (neraka). Allah berfirman,  “Sesungguhnya orang-orang yang baik dalam kenikmatan (syurga) dan sesungguhnya orang-orang yang jahat dalam neraka.” (Surah al-Infithar;13-14).