Adakah Sutera Najis?  

Tafsir Ayat

Oleh: Norimanah Seman

Tidak ada nas atau dalil yang mengatakan sutera tulen itu najis. Mungkin pernah berlaku kekhilafan mengatakan sutera bukan hanya haram dipakai lelaki, malah menjadi najis bagi perempuan tatkala digunakan untuk solat.

Lantaran pendapat itu, ada perempuan yang memakai sutera ketika didatangi haid saja kerana tidak perlu bersolat. Sedangkan ketika suci, pakaian yang dihalalkan oleh Baginda s.a.w. itu tidak disentuh. Itu mungkin kerana tertanam di fikiran bahawa sutera najis dibawa solat. Alasan mereka ia najis kerana benang sutera itu dihasilkan oleh ulat sutera dari bahan buangannya iaitu tahi.

Persoalannya, benarkah sutera itu memang najis? Adakah benang itu dihasilkan dari tahi ulat sutera? Kalau benar sekalipun benang sutera itu dari tahi, masihkah ia dihukumkan sebagai najis?

Sebelum Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anwar Fakhri Omar berbincang lebih lanjut tentang persoalan utama sutera najis untuk dibawa solat, rasanya elok diberikan beberapa hadis yang menyebut tentang hukum pemakaian sutera.

Di dalam hadis nabi yang bermaksud, “Diharamkan memakai sutera dan emas terhadap kaum lelaki di kalangan umat ku, tetapi dihalalkan dari perempuan di kalangan umatku.”(HR At-Tirmidzi)

Kemudian di dalam satu hadis yang lain pula, Nabi Muhammad s.a.w mengambil sutera dan dipegangnya dengan tangan kanan. Lalu baginda mengambil emas dan dipegangnya dengan tangan kiri. Kemudian baginda bersabda, “Kedua-dua benda ini  haram bagi lelaki di kalangan umatku .” (HR Ahmad Abu daud, An Nasai, Ibn Haiban dan Ibn Majah).

Ada lagi satu hadis dari Umar Al Khaththab, Rasulullah s.a.w. diberi orang beberapa helai pakaian sutera. Lalu baginda kirimkan kepada Umar sehelai, Usamah bin Zaid sehelai dan Ali Abi Talib sehelai. Seraya baginda berkata kepada Ali: “Potong baju itu untuk selendang isterimu.” Umar datang kepada baginda membawa sutera yang dikirimkan Nabi s.a.w. untuknya. Kata Umar: “Ya, Rasulullah! Untuk apa anda kirimi aku baju sutera ini? Bukankah kelmarin anda telah berkata kepada ku tentang baju yang dipamerkan Utharid?” Jawab Rasulullah: “Aku tidak mengirimkan kepada mu untuk kamu pakai, tetapi ku kirimkan supaya engkau manfaatkan dalam memenuhi keperluan mu.” Adapun, Usamah, dengan gembira dipakainya baju sutera itu. Kerana itu Rasulullah s.a.w. memandang kepadanya dengan pandangan yang menunjukkan beliau tidak setuju dengan perbuatan Usamah itu. Kata Usamah, “Ya, Rasulullah, mengapa anda memandang ku seperti itu, bukankah anda yang mengirimi ku baju ini?” Jawab Rasulullah: “Aku tidak mengirimkannya untuk kamu pakai sendiri tetapi supaya  engkau potong menjadi selendang isteri mu.” (HR Muslim).

Dari kesemua hadis yang dipaparkan di atas, Anwar Fakhri menjelaskan,  nabi tidak menyebut pun bahawa pemakaian sutera adalah najis untuk dibawa bersolat. Tidak ada satu perkataan pun yang mengatakan bahawa sutera tulen itu najis. Andai kata sutera itu najis, sudah tentu Baginda s.a.w. akan menyebutnya dengan jelas. Apa yang nabi nyatakan di dalam hadis itu, sutera diharamkan untuk lelaki tetapi dihalalkan bagi wanita.

Katanya lagi, apabila nabi menyebutnya dihalalkan bagi perempuan bermaksud ia halal dan suci. Bukan sekadar halal dipakai, ia juga suci untuk dibawa beribadat dan bersolat. Dan, soal pengharamannya bagi lelaki bukanlah kerana sutera itu najis tetapi ia adalah perintah Allah. Setakat ini belum ada ulama yang membincangkannya najis untuk dibawa bersolat.

Anwar Fakhri mempunyai alasan apabila mengatakan sutera bukan najis. Katanya benang sutera yang dihasilkan oleh ulat sutera semasa menjadi kepompong di dalam proses semula jadi untuk menjadi rama-rama. Benang sutera yang membalut kepompong itulah yang diambil untuk dijadikan kain sutera. Pada dasarnya penghasilan benang sutera itu adalah dari air liur ulat sutera.

“Kalau benang itu dihasilkan dari air liur ulat, maka ia adalah suci kerana air liur bukan najis. Menurut mazhab Syafie, air liur semua binatang selain anjing, babi dan haiwan yang najis adalah suci, di dalam hal ini termasuklah air liur ulat sutera. Di dalam apa hal pun sutera yang dihasilkan daripada air liur ulat adalah suci.

“Andai kata, masih ada yang tidak berpuas hati dan tetap mengatakan bahawa benang sutera itu dihasilkan dari bahan buangan ulat atau tahi ulat ia tetap suci. Ia masih lagi boleh dipakai untuk solat dan melakukan ibadat yang lain.

“Apabila membahaskan tentang tahi haiwan, ada mazhab yang berpendapat,  tahi haiwan yang boleh dimakan adalah tidak najis, terutamanya mazhab Maliki. Tahi binatang pun ada pendapat yang mengatakannya bukan najis. Tapi kalau betullah? Benang sutera itu datang dari tahi ulat ia tetap halal kerana ia najis yang dimaafkan.

“Satu lagi ia telah dihalalkan oleh Rasulullah seperti disebut di dalam hadis, ia halal bagi perempuan di kalangan umat ku. Biasanya, apa yang dikatakan halal oleh Rasulullah ia akan berserta dengan suci. Masakan Rasulullah hendak menghalalkan benda yang najis. Kita kena berpegang pada hadis itu kerana Rasulullah telah menghalalkannya. Maka tidak timbul ia najis dan apabila dikatakan halal dipakai bermakna boleh juga dibawa sembahyang. Daripada hadis itu tidak ada pun dihuraikan ia hanya boleh dijadikan pakaian dan tidak boleh dibawa solat. Sesuatu yang telah dihalalkan oleh Rasulullah membawa maksud ia halal keseluruhannya bagi perempuan,” jelas Anwar Fakhri.

Hikmah pengharamannya kepada lelaki

Menurut Anwar Fakhri lagi, sebab diharamkan sutera kepada lelaki adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan perintah yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Namun hikmah di sebalik pengharaman itu dijelaskan oleh Sheikh Yusuf Al Qaradawi. Antranya :

Pertama, kerana Islam adalah agama jihad dan kekuatan. Maka Islam juga menjaga sifat kelelakian orang lelaki daripada segala fenomena yang menunjukkan kelemahan dan kelembutan. Allah menjadikan lelaki itu dengan fitrahnya, gagah, perkasa, tangkas dan tegap susuk tubuhnya. Sedangkan sutera itu adalah lembut dan menunjukan kewanitaan. Jadi tidak sesuai dipakai oleh orang lelaki kerana ia lebih menyerupai sifat wanita yang lembut dan sukakan kecantikan.

Kedua, dari sudut kemasyarakatan, Islam sentiasa memerangi kehidupan yang terlalu bermewah-mewah dan pentingkan kesederhanaan. Sedangkan sutera itu adalah lambang kemewahan kerana harganya yang mahal. Dan apabila terlalu bermewah, biasanya masyarakat akan cair komitmennya terhadap hukum hakam Islam, tidak beriltizam, kurang bersungguh-sungguh dan tidak teguh pegangannya.

Pun begitu, Anwar Fakhri menegaskan keadaannya berbeza dengan wanita yang dihalalkan memakai sutera kerana Allah menciptakannya dengan sifat kelembutan yang sukakan kecantikan dan berhias. Perempuan ada ‘tugas tertentu’ sebab itu diberi kelonggaran baginya  untuk menggunakan sutera. Namun, masih ada batasannya, tidak boleh terlalu berlebih-lebihan, cukuplah dengan penuh kesederhanaan. Sebabnya Allah sudah memberi peringatan di dalam surah An-Nur ayat 31, antara maksudnya, “…janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka…”

Tegas Anwar Fakhri lagi, dari ayat itu jelas bahawa Allah mengizinkan orang perempuan untuk memakai perhiasan tetapi tidak boleh menunjuk-nunjuk kepada orang lain atau memberitahu perhiasan yang tersembunyi. Itu bermaksud tidak boleh berlebih-lebih.

Sutera Sebagai Perhiasan

Ada pula yang mengambil jalan, disebabkan lelaki tidak boleh memakai sutera maka ia ditukarkan kepada perhiasan. Misalnya dijadikan sejadah, langsir, sarung kusyen dan cadar. Mereka beralasan untuk memuaskan hati masih dapat memiliki sutera walaupun tidak boleh dipakai, tidak kena pada badan tentu saja dibolehkan? Betulkah begitu?

Menurut Anwar Fakhri, sutera yang digunakan sebagai perhiasan seperti dibuat sejadah, langsir, cadar atau sebagainya ia adalah haram. Segala jenis pemakaian selain daripada pakaian ia menunjukkan kemewahan yang melampau, ia adalah haram. Jadi tidak ada alasan untuk meletakkannya sebagai perhiasan kerana ia kelihatan lebih mewah. Di dalam Islam memperlihatkan kemewahan adalah suatu yang dilarang.

Jadi, bagaimana pula dengan sutera yang dicampurkan bahan lain? Adakah lelaki masih boleh menggunakannya?

Di dalam menentukan hukum pemakaiannya, Anwar Fakhri menjelaskan, ia perlu dilihat pada jumlah percampuran sutera dan bahan lain. Jika sutera itu lebih banyak ia tetap haram. Jika sutera itu kurang sedikit daripada bahan lain iaitu perkiraannya 49 peratus sutera dan 51 peratus adalah bahan lain, maka ia sudah dikira halal dan boleh dipakai oleh lelaki. Walaupun bezanya hanya satu peratus saja kerana ada kaedah iaitu apabila bercampur antara halal dan haram maka yang haram akan mengatasi yang halal.

Namun di dalam membincangkan kaedah ini para ulama meletakkan pengecualian iaitu bukan asalkan bercampur antara halal haram akan jadi haram. Al-Sayuti, meletakan, antara pengecualian yang termasuk di dalam hukum ini adalah percampuran sutera dengan bahan yang lain. Di dalam hal ini percampuran halal dan haram tidak membawa kepada haram tetapi dihalalkan. Maka sutera itu boleh dipakai.

Sambungnya lagi, ada juga ulama yang mengatakan baju atau jubah yang dihiasi dengan sutera pada bahagian sakunya, di pergelangan tangan  atau di lehernya adalah dibolehkan. Di dalam keadaan ini ulama mengatakan,  ia dibolehkan dengan syarat sutera itu tidak lebih banyak daripada pakaian yang sebenar.

Menurut Ibn Taymiyyah, kalau seseorang lelaki memakai sesuatu pakaian atau baju yang berpasang dan pada setiap bahagian pakaian itu ada sedikit sutera walaupun jika dihimpunkan semua sutera itu boleh dibuat sehelai baju maka ia tetap halal.

Bagi Anwar Fakhri, alasan yang diberikan oleh Ibn Taymiyyah boleh diterima pakai iaitu kain sutera yang ditampal pada jubah bukan sehelai pakaian kerana ia tidak bercantum menjadi sehelai pakaian atau berpecah-pecah. Dan,  ada dalil riwayat Sahih Muslim menjelaskan,  nabi ada memiliki sehelai jubah yang pergelangan tangan lengan baju, di bahagian bawah dan sakunya dihiasi dengan kain sutera.

Kemudian satu lagi hadis, Rasulullah menegah daripada memakai sutera kecuali sutera itu tidak melebihi dua ataupun tiga jari. Maka dihalalkan atau dibolehkan. Dan, hukum membolehkan sutera itu secara mutlak iaitu tidak dikaitkan dengan keperluan lain seperti berpenyakit atau peperangan. Pemakaian sutera itu dibolehkan tanpa ada sebarang keperluan lain, maksudnya boleh digunakan bila-bila masa walaupun untuk tujuan hiasan dan mencantikkan lagi baju.

Jelasnya lagi, kalau kerana penyakit memang dibolehkan bagi lelaki untuk memakai sutera sebagaimana disebut di dalam hadis, dari Anas bin Malik katanya, “Rasulullah s.a.w. membolehkan Zubair bin Awwam dan Abdurrahman bin Auf memakai pakaian sutera kerana kedua-duanya menderita penyakit kulit.”

Bagaimana pula dengan tali leher? Semasa zaman Rasulullah tidak ada tali leher namun para ulama telah membincangkannya. Ada dua pendapat, satu mengatakannya tidak boleh dan satu lagi mengatakannya dibolehkan.

Anwar Fakhri menerangkan,  pandangan yang mengatakan ia tidak boleh adalah kerana tali leher adalah sehelai pakaian yang berasingan dan tidak bercantum dengan baju. Hukumnya adalah haram bagi lelaki memakai tali leher sutera sama seperti memakai pakaian sutera tulen.

Manakala bagi ulama yang membolehkannya pula, alasannya tali leher bukanlah sehelai pakaian yang tersendiri. Kerana tidak ada orang di dunia ini yang memakai tali leher saja tanpa memakai baju. Dari situlah diputuskan bahawa tali leher dan baju adalah sehelai pakaian yang sama iaitu ia tidak boleh dipakai secara berasingan.

Katanya, ada dua pandangan tentang pemakaian tali leher sutera iaitu dibolehkan kerana ia bukan pakaian yang berasingan dan tidak dibolehkan kerana tidak bercantum dengan baju. Boleh memilih untuk memakainya atau tidak terpulanglah kepada pengguna untuk memilih pendapat yang mana. Namun Anwar Fakhri menegaskan, apabila timbul kekhilafan di dalam sesuatu isu maka memilih tidak memakainya adalah lebih baik. Iaitu pendapat yang pertama.

Fakta tentang sutera  

Ulat sutera adalah larva  atau ulat beluntas daripada rama-rama Bombyx mori yang hidup hanya memakan daun mulberi.

Benang sutera dihasilkan dari kelanjar liur ulat sutera semasa menjadi kepompong. Benang yang menjadi pelindung ulat sutera semasa tempoh menjadi kepompong itulah yang diproses untuk menjadi benang sutera.

Benang sutera yang dihasilkan oleh ulat sutera adalah terlalu halus iaitu mempunyai diameter 10 mikrometer dan berkilat.

Ulat sutera boleh menghasilkan benang sutera mentah sepanjang 300 hingga 900 meter. Untuk menghasilkan 500 gram sutera sebanyak 2,000 hingga 3000 kepompong ulat sutera diperlukan.

Untuk menghasilkan 500 gram sutera diperlukan benang sutera mentah sepanjang 1,609,000 meter. Ulat sutera perlu makan 10 bilion helai daun mulberi untuk menghasilkan sutera sebanyak itu.

Ulat sutera yang telah mati setelah diasingkan benangnya dijadikan  hidangan lazat oleh masyarakat Korea yang dipanggil beondegi, manakala di China ulat tersebut dipanggang dikenali pupae. Di Vietnam pula dikenali sebagai ‘con nhong’ dan ulat sutera juga sedang diusahakan untuk dijadikan makanan angkasawan ketika berada angkasa lepas untuk tempoh masa yang panjang.

Di China, ulat sutera juga digunakan di dalam perubatan tradisional untuk menyingkirkan angin, mencairkan kahak dan meringankan kekejangan.