Ada Apa Dengan Jumaat ?

Yang Ghaib

Oleh: Nazirul Hisham

Kita pasti tertanya-tanya, apa istimewanya malam Jumaat berbanding malam-malam lain? Al Islam menemubual Dr Azhar Sarip, iaitu pakar perunding emosi dan pengasas Spiritual NLP Training mengenai hal ini dari sudut saintifik.

Jawapannya mudah.  Katanya, ramai yang tidak tahu kenapa malam Jumaat adalah malam yang bagus dan dikatakan penghulu segala hari pada siangnya. Dr.  Azhar mula menerangkan  empat fungsi gelombang yang ada iaitu beta, alpha, theta dan delta. Ujarnya, setibanya malam Jumaat, gelombang theta akan wujud. Gelombang ini adalah gelombang dalam keadaan rehat yang mendalam.

“Gelombang theta  adalah gelombang yang datang  secara semula jadi. Pada ketika ini jugalah, hormon, psikologi dan mental akan berada di paras yang baik. Itu sebab  mengapa malam Jumaat, waktu yang paling sesuai untuk menunaikan aktiviti-aktiviti kerohanian serta setiap ibadah yang dilakukan  dapat dilaksanakan secara khusyuk.

“Di zon gelombang theta ini jugalah doa dimakbulkan. Senang cerita, waktu ini merupakan waktu untuk relax dalam melakukan ibadah. Jadi tiada sebab jika malam Jumaat ini dikaitkan dengan malam hantu atau “keliwon” seperti yang dicanang oleh masyarakat Melayu pada hari ini,” ujarnya.

Berbeza dengan gelombang beta yang sinonim dengan mereka yang stress, buntu, cepat tension, cepat marah dan sebagainya. Perlu diingat, malam Jumaat yang sering dicanang sebagai malam hantu kerana sebab gelombang tersebut. Jelas Dr.  Azhar,  apabila seseorang diasak dengan cerita-cerita hantu yang cukup banyak pada malam Jumaat, maka gelombang rendah seperti alpha atau theta yang dimiliki semasa itu akan dipengaruhi dengan beta yang mengandungi sebanyak 90 peratus  unsur negatif di dalamnya.

“Gelombang negatif ini akan disimpan ke dalam minda melalui keterbukaan sistem subconscious memory iaitu memori bawah sedar yang mampu menyimpan antara 50,000 hingga 65,000 perkara-perkara negatif. Begitu juga dengan malam bulan mengambang, yang mengandungi gelombang beta.

“Saya boleh samakan ia dengan geloranya paras air laut kerana tingginya gelombang yang terhasil itu. Orang selalu bertanya, kenapa serigala selalu menyalak pada malam bulan mengambang seperti yang digambarkan  di dalam di filem mahupun televisyen.  Jawapannya, ia disebabkan unsur gelombang beta yang negatif dan  bukan kerana hantu,”ujarnya.

Menurut Dr.  Azhar orang ramai sebenarnya telah berhalusinasi dengan cerita karut-marut sehingga membenarkan minda mereka terhasut dengan perkara negatif.  Sekali gus terbawa-bawa mengaitkan malam Jumaat, adalah malam hantu. Padahalnya malam Jumaat adalah malam untuk beribadah kerana bergelombang theta yang cukup selesa untuk mengerjakannya.

Pesannya, seharusnya persepsi malam Jumaat sebagai malam  keliwon harus diubah.  Persepsi sedemikian,  datang ekoran  pengaruh minda yang sudah terhasut.  Hantu ada pada bila-bila masa sahaja dengan bantuan jin dan syaitan.

 Gelombang Alpha  Buat Hubungan Makin Seronok! 

Bagaimana pula kaitan malam Jumaat malam untuk berseronok dengan pasangan?. Dr Azhar punya jawapan relevannya yang tersendiri.

Ujarnya, apabila sudah ‘bersama’ dengan pasangan masing-masing, keseronokan itu sebenarnya datang daripada mereka berdua yang mempengaruhi malam dan bukannya malam yang mempengaruhi mereka. Apabila asyik dilamun cinta, minda kita akan disetkan dengan gelombang theta. Tetapi apabila sudah ‘bersama’, secara automatik minda akan turun ke alpha di mana parasnya lebih rendah dari beta iaitu lebih santai.

Justeru, mereka akan lebih fokus dengan apa yang mereka lakukan kerana gelombang alpha ini adalah gelombang separuh sedar. Untuk pengetahuan, gelombang alpha tercetus apabila seseorang berkhayal dan mula memikirkan perkara di luar bidang.

“Kalau dah ‘bersama’ sudah tentulah kita seronok dengan khayalan tersebut. Oleh itu, gelombang-gelombang alpha yang dicetuskan oleh pasangan-pasangan terbabit yang sering dilakukan pada malam Jumaat menguatkan lagi pengaruh santai  tersebut untuk bersama pasangan masing-masing,” katanya.

Kelebihan Jumaat Jangan dikhususkan 

            Adakah terdapat nas-nas hadis yang sahih mengenai keistimewaan Jumaat? Pensyarah dari Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd Othman, berkata,“Tidak dinafikan, Jumaat adalah hari yang terbaik untuk melakukan amalan yang baik secara keseluruhannya. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang mengatakan, Jumaat adalah hari rasmi Islam, seperti mana agama-agama lain yang ada harinya masing-masing. Misalnya hari Sabtu untuk Yahudi dan Ahad bagi penganut Kristian

Tetapi Fadlan mengingatkan, janganlah hanya mengkhususkan hari Jumaat atau malamnya untuk membuat perkara-perkara yang baik dan tidak pula melakukan kebaikan pada hari-hari yang lain. Ujarnya, Nabi Muhammad s.a.w juga ada menyarankan beberapa tegahan dan larangan membuat amalan-amalan baik dengan hanya mengkhususkan hari atau malam Jumaat semata-mata. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim, “Janganlah engkau mengkhususkan malam Jumaat untuk solat malam di antara malam-malam-malam yang lain.”. 

Menurut Fadlan, hadis  tersebut menunjukkan, pengkhususan untuk membuat amalan hanya pada malam Jumaat adalah perkara yang salah. Dalam Islam, berbuat baik dituntut pada bila-bila masa dengan mengharapkan pahala dan keredaan Allah s.w.t.  Dikhuatiri, apabila berlakunya pengkhususan hari-hari tertentu,  ia akan terikut-ikut dengan budaya agama lain yang hanya mengkhususkan  hari tertentu untuk beribadat.

Bagaimana pula dengan  “keliwon”, roh berkeliaran dan mati yang mulia pada malam Jumaat? “Mengenai perkara ini, saya tidak pernah pun mendengar mana-mana hadis yang mengatakan roh berkeliaran pada malam Jumaat. Pada pandangan saya, ia hanya buah mulut yang dipindah-pindahkan tanpa melihat sumber yang relevan. Saya melihat perbuatan ini lebih pada kepercayaan animisme iaitu percaya kepada roh-roh nenek moyang sebelum kedatangan Islam di Nusantara.

“Bahkan, saya juga ada beberapa kenalan di Indonesia yang terlalu taasub dengan kedatangan roh sehingga memujanya,” ujarnya.

Mengenai mati di malam Jumaat,  Fadlan menjelaskan,  memang terdapat hadis riwayat Imam Ahmad yang menyebut, “Barang siapa yang mati pada malam dan hari Jumaat terlepas dari fitnah kubur.” Namun begitu, jelasnya, bagaimana keadaannya, tidak dapat dibayangkan kerana semuanya  menjadi   rahsia dan kuasa Allah s.w.t. Cuma apa yang boleh  dilakukan ialah persediaan menghadapinya.

Apa pula saranan berjimak pada malam Jumaat? Menyentuh  mengenai hal ini, Fadlan menegaskan, terdapat hadis sahih yang diriwayatkan an-Nassaie’ menyebut, “Sesiapa yang menggauli isterinya dan mandi pada hari Jumaat, kemudiannya dia datang dan memaksa lebih awal, lalu dia mendekati tempat imam dan mendengarnya dengan lebih baik, maka baginya untuk setiap langkah pahala puasa dan solat malam untuk satu tahun.”.

“Hadis yang diutarakan mempunyai hikmahnya yang tersendiri mengapa berjimak disarankan lebih manis  berlaku pada malam Jumaat. Hikmahnya dapat dilihat berdasarkan pada perkataan ‘mandi’, di mana seseorang itu lebih fokus mendengar khutbah dan mengerjakan Jumaatnya sesudah mandi dan setelah puas mendapatkan ‘hak’ masing-masing pada sebelah malamnya.” ujarnya.

Definisi gelombang

  1. Gelombang Beta

Gelombang Beta merupakan gelombang yang ‘sibuk’. Getarannya sangat rapat dan berkecamuk. Gelombang ini sinonim dengan mereka yang stres, buntu fikiran, tak keluar idea, cepat tension, cepat marah dan cepat meradang. Boleh dikatakan gelombang ini mempengaruhi seseorang menjadi lemah fikiran akibat tekanan.

  1. Gelombang Alpha

Gelombang di mana ketika itu minda seseorang berada di tahap rehat. Minda di tahap Alpha tercetus ketika sedang bersantai, memandu, mandi dan menunaikan solat. Selain itu, ia merupakan gelombang utama untuk seseorang mencapai apa yang diinginkan tatkala ia berlaku pada keadaan separa sedar. Contohnya apabila sedang berkhayal, fikiran akan melayang dan kadang-kala terfikir benda yang di luar bidang.

  1. Gelombang Theta

Gelombang dalam keadaan rehat yang mendalam. Gelombang ini selalunya didapati kepada mereka yang ingin melakukan ritual, meditasi agama dan bertapa. Begitu juga dengan pesakit-pesakit yang hendak dirawat dengan kaedah hipnosis, sekali gus minda mereka akan bertukar ke gelombang ini. Namun, gelombang ini sebenarnya tidak banyak membantu dalam mencapai cita-cita.

  1. Gelombang Delta

Gelombang minda yang paling lambat. Gelombang ini terbentuk ketika seseorang berada dalam keadaan koma, tidak sedar diri atau ditidurkan. Ketika seseorang sudah berada di tahap ini, hubungannya dengan dunia luar sememangnya putus. Namun gelombang ini masih diperlukan untuk merawat pesakit tersebut.